Pengunjung di Bugis Junction merosot 90%, lebih 240 kes jangkitan Covid-19 dikesan
Pengunjung di Bugis Junction merosot 90%, lebih 240 kes jangkitan Covid-19 dikesan
PERNIAGAAN di Bugis Junction kini merudum setelah bilangan pengunjung merosot mendadak sejak kelompok kes Covid-19 muncul di pusat beli-belah itu pada 24 Ogos lalu.
Kes yang berkaitan dengan pusat beli-belah tersebut meningkat kepada 246 kelmarin, berbanding 20 kes pada awalnya.
Beberapa pemilik perniagaan dan pekerja dari kedai pakaian hingga restoran berkata bilangan pengunjung telah merosot sekitar 90 peratus dalam seminggu lalu, meskipun ada langkah-langkah seperti pembersihan dan kuarantin.
Beberapa kedai telah ditutup buat sementara waktu kerana mendapatinya tidak berbaloi beroperasi pada masa ini, atau kerana pekerja telah dijangkiti virus.
Seorang kakitangan di kedai makanan di besmen berkata, banyak gerai ditutup awal kerana tiada perniagaan, dengan tiada lagi pelanggar yang beratur di kedai popular, lapor The Straits Times.
"Semua orang kini takut dengan tempat ini. Biasanya kedai di sini mempunyai ramai pelanggan yang beratur," ujar wanita berusia 28 tahun yang enggan namanya disiarkan.
Seperti kakitangan lain di pusat beli-belah itu, beliau dihantar untuk menjalani ujian swab Covid-19 yang wajib, antara langkah yang diambil untuk membendung penularan.
Selain itu, kontak rapat kes telah dikuarantin, dan ujian percuma ditawarkan kepada orang awam yang telah mengunjungi atau menggunakan khidmat di pusat beli-belah itu pada waktu tertentu.
Pengurusan pusat beli-belah juga melakukan pembersihan dan pembasmian kuman di tandas dan kawasan umum pusat beli-belah itu di semua tingkat sepanjang minggu lalu. Penapis pendingin hawa juga telah diganti, kata jurucakap Bugis Junction.
Kadar vaksinasi dalam kalangan kakitangan pengurusan pusat Bugis Junction juga telah mencapai hampir 100 peratus dan semua penyewa telah selesai menjalani satu pusingan ujian swab mandatori yang diatur oleh Kementerian Kesihatan (MOH).
"Kami terus memantau situasi secara dekat dan bersama penyewa kami, kami akan mengambil langkah-langkah yang diperlukan seperti yang dinasihatkan oleh pihak berkuasa," kata jurucakap pusat Bugis Junction itu.
Mereka yang bekerja di pusat beli-belah itu berkata, kakitangan di gedung BHG menyumbang sekurang-kurangnya 70 kes, atau lebih daripada suku jangkitan di kelompok Bugis Junction.
Kakitangan BHG berkata, pekerja yang bertugas di cawangan itu semasa kelompok itu muncul telah diberi arahan kuarantin dan semua pekerja yang bertugas sejak itu merupakan pekerja dari cawangan lain gedung tersebut.
Difahamkan kebanyakan kakitangan cawangan BHG di Bugis akan kembali minggu depan setelah selesai menjalani kuarantin mereka.
Seorang jurucakap BHG berkata, cawangan itu telah dibuka semula kepada pembeli-belah pada 1 September lalu, setelah menjalani kerja pembersihan selama seminggu.

