KETIBAAN pengunjung ke Singapura merosot kepada 2.7 juta orang tahun lalu, yang paling rendah dalam sekitar empat dekad, menyusuli penutupan sempadan yang belum pernah berlaku sebelum ini di tengah-tengah pandemik Covid-19.
Ketibaan tahun lalu hampir kesemuanya berlaku pada dua bulan pertama tahun itu, dan jumlahnya adalah kemerosotan 85.7 peratus berbanding ketibaan sepanjang 2019, kata Lembaga Pelancongan Singapura (STB) semalam.
Pendapatan daripada pelancongan juga merosot 78.4 peratus kepada $4.4 bilion dalam tiga suku pertama tahun lalu, berbanding tempoh yang sama pada 2019.
Ini rata-rata disebabkan oleh penutupan sempadan dan sekatan perjalanan global yang belum pernah terjadi sebelum ini, kata STB.
Ketua eksekutif STB, Encik Keith Tan, berkata: "STB tetap yakin pada kedudukan Singapura sebagai salah satu destinasi percutian dan perniagaan paling selamat dan menarik di dunia, dan prospek jangka panjang sektor pelancongan Singapura."
Sedang perjalanan antarabangsa secara besar-besaran tidak mungkin akan disambung dalam cara yang besar tahun ini, beliau berkata STB akan terus bekerjasama dengan rakan industri untuk bersiap sedia bagi pemulihan.
Permintaan domestik kini menjadi penting untuk menyokong perniagaan pelancongan, dengan perjalanan antarabangsa kini terhenti.
Skim Baucar Teroka Semula Singapura (SRV) dilancarkan Disember lalu sebagai usaha untuk menyokong pelancongan tempatan.
Sejak bulan lalu, lebih 300,000 warga Singapura telah menggunakan skim SRV untuk membuat tempahan dengan hotel, tarikan dan lawatan di Singapura, yang menghasilkan lebih $35.9 juta dalam bentuk penebusan SRV dan pembayaran secara tunai.
STB menambah bahawa perniagaan pelancongan juga memainkan peranan penting dalam perjuangan Singapura melawan Covid-19, dengan hotel menawarkan hartanah mereka untuk pelbagai tujuan penginapan, termasuk kemudahan kuarantin pemerintah, kemudahan pengasingan swab dan kemudahan khusus bagi Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).
Lebih 70 hotel telah berkhidmat sebagai kemudahan khusus itu sejak Mac lalu, dan hingga Disember lalu, kemudahan itu telah menampung lebih 80,000 orang yang menjalani SHN.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg