SEORANG warga Singapura yang bertanggungjawab ke atas jabatan keselamatan Takashimaya pada Selasa (19 Okt) dihukum penjara 10 bulan dan didenda $42,500 kerana menerima rasuah. Chan Kuen Thong, 64 tahun, yang juga pengurus divisyen kanan di Takashimaya Singapura, terlibat dalam skim rasuah untuk menutup kekurangan bilangan pegawai keselamatan di gedung serbaneka itu, kata Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam satu kenyataan. Tugasnya adalah untuk mendapatkan sebut harga daripada agensi keselamatan dan memastikan bahawa agensi yang diambil memberi khidmat seperti yang dinyatakan dalam perjanjian kontrak mereka. Di bawah kontrak, White Knights Security Services perlu membekalkan Takashimaya dengan 18 pegawai keselamatan bagi syif siang dan enam bagi syif malam. Sekiranya terdapat kekurangan dalam bilangan pegawai keselamatan yang dikerahkan, Takashimaya berhak membuat tuntutan. Siasatan menunjukkan sejak awal kontrak pertama, pengarah White Knights Mandhir Singh Karpal Singh menghadapi kekurangan kerap sekitar tiga hingga lima pegawai keselamatan bagi syif siang. Dalam minggu kedua Januari 2017, Chan mengadu kepada Mandhir mengenai kekurangan itu, yang menyebabkan beberapa pos keselamatan dibiarkan tanpa pengawal. Dalam bulan itu juga, Chan menemui Mandhir dan minta dibayar $4,000 setiap bulan sebagai ganti tidak membuat tuntutan. Mandhir, 30 tahun, setuju kerana ia bukan hanya dapat menjimatkan White Knights antara $12,300 dengan $20,500 setiap bulan berdasarkan kekurangan purata tiga hingga lima pegawai keselamatan, tetapi juga mengelakkannya daripada perlu mencari lebih ramai pegawai keselamatan untuk dikerahkan di gedung serbaneka itu. Ini juga akan membantunya terus menjaminkan pembaharuan kontrak dengan Takashimaya. Antara Februari 2017 dengan Mei tahun lalu, Mandhir membayar Chan sejumlah $121,000. Chan pula tidak membuat sebarang tuntutan.

Pada 16 Ogos, Mandhir, seorang penduduk tetap Singapura, dihukum penjara 10 bulan kerana rasuah.