KIRIMAN mesej dihantar oleh para peniaga hujung minggu lalu untuk memaklumkan kepada pelanggan agar segera mengambil tempahan barangan Hari Raya Aidilfitri mereka sebelum Joo Chiat Complex ditutup selama sebulan.
Dalam kiriman mesej yang dilihat Berita Harian pada malam Sabtu lalu, ia menulis bahawa pusat membeli-belah itu dijadual "ditutup mulai hari ini buat sementara selama sebulan, dengan kemungkinan berlanjutan dua minggu lagi".
"Pelanggan yang mempunyai pakaian Hari Raya untuk diambil, sila mengambilnya pada hari ini (Sabtu lalu) atau esok (kelmarin)," kata mesej itu.
Penutupan itu sejajar dengan langkah 'pemutus litar' jangkitan Covid-19 yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, untuk menutup tempat kerja bagi khidmat bukan penting demi mencegah penularan Covid-19 di sini.
Antara peniaga di Joo Chiat Complex yang terjejas ialah pemilik Persian Boutique Pte Ltd, Cik Siti Rohani Haji Habib Mohd, yang menjual pakaian Muslimah dan Muslimin eksklusif yang berasal dari Timur Tengah.
"Penutupan ini datang agak mengejutkan sebab kami sedang membuat persiapan bagi bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. Ini tempoh penting bagi perniagaan saya," kata Cik Rohani yang telah berniaga selama 15 tahun.
Setelah mendapat berita kedainya perlu ditutup, beliau menghubungi pelanggan untuk mengambil tempahan baju mereka.
Hujung minggu lalu, lima pelanggan datang untuk mengambilnya.
Bagi baki sebulan tanpa kedai secara fizikal, Cik Siti Rohani bercadang memperluaskan perniagaannya dalam talian menerusi laman web sedia ada butik itu.
Namun begitu, beliau berkata pengalaman membeli mungkin tidak sama bagi ramai pelanggannya.
"Mereka lebih gemar ke kedai untuk mencuba sendiri pakaian, rasa kain dan lihat warnanya," jelas Cik Rohani, yang menambah 90 peratus jualan hasil pelanggan yang datang ke butiknya.
Sementara itu, Encik Abdul Rahim Marjan dan isterinya pergi ke Joo Chiat Complex kelmarin selepas menerima mesej dari kedai tempahan langsir di situ.
Mereka telah menempah langsir bagi Hari Raya dan sepatutnya mengambil tempahan mereka sekitar Mei.
"Disebabkan keadaan wabak ini yang tidak menentu, saya ambil keputusan untuk ambilnya sekarang.
"Kita tidak tahu sama ada penutupan kedai akan dilanjutkan," kata penyelaras jualan berusia 55 tahun itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg