Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peniaga, pelanggan sesuaikan keperluan peraturan keselamatan baru

Pemeriksaan berjalan lancar walau ada pelanggan masih kurang pasti dengan langkah sekatan baru
Jul 20, 2021 | 5:30 AM
LAKUKAN PEMERIKSAAN: Kakitangan Rumah Makan Minang melakukan pemeriksaan demi memastikan status vaksinasi pelanggan sebelum mereka dibenarkan duduk bersama semalam. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
LAKUKAN PEMERIKSAAN: Kakitangan Rumah Makan Minang melakukan pemeriksaan demi memastikan status vaksinasi pelanggan sebelum mereka dibenarkan duduk bersama semalam. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

SUASANA lebih sunyi bagi banyak tempat makanan dan minuman (F&B) sedang langkah-langkah pengurusan selamat yang diperketatkan dilaksanakan pada hari pertama semalam.

Beberapa peniaga F&B yang dihubungi Berita Harian (BH) semalam berkata jumlah pelanggan yang datang menjamu selera di restoran mereka berkurangan jika dibandingkan dengan hanya minggu lalu apabila kumpulan sehingga lima orang dibenarkan duduk makan semeja.

Mulai semalam hingga 8 Ogos, hanya individu yang telah melengkapkan vaksinasi Covid- 19 dibenar makan luar lima semeja, sementara had dua orang semeja diperkenal sekali lagi bagi mereka yang masih belum divaksin.

Orang yang telah melengkapkan vaksinasi - 14 hari selepas menerima dos kedua - boleh makan di luar lima semeja, jika tempat makan itu berupaya memeriksa status vaksinasi mereka.

Begitu juga dengan orang yang belum divaksin sepenuhnya, tetapi mempunyai hasil ujian praacara (PET) yang negatif atau yang telah sembuh dari Covid-19.

Peniaga F&B memberitahu BH bahawa proses memeriksa status vaksinasi pelanggan dan juga ujian PET berjalan lancar, dengan kakitangan mereka telah diberi taklimat dan latihan minggu lalu tentang cara menjalankan pemeriksaan.

Namun, mereka berkata peraturan baru langkah-langkah diperketatkan itu mengelirukan dan melecehkan sesetengah pelanggan dan ini akan membuat orang ramai tidak mahu keluar makan dan sekali gus, menjejas perniagaan F&B.

Pengarah urusan Rumah Makan Minang, Encik Hazmi Zin, misalnya berkata ianya lebih mencabar bagi pelanggan yang lanjut usia.

"Bagi pelanggan yang muda, saya lihat hari ini (semalam) ramai daripada mereka yang duduk dalam kumpulan dua orang.

"Namun, bagi pelanggan lanjut usia, ramai yang duduk semeja sehingga lima orang, tetapi leceh bagi mereka nak keluarkan telefon bimbit, buka aplikasi dan kemudian tunjukkan status vaksinasi mereka kepada kami.

"Ia memperlahankan rentak kerja kami kerana kami perlu periksa status mereka dan memastikan mereka duduk mengikut peraturan," kata beliau.

Encik Hazmi berkata disebabkan kekurangan tenaga manusia, beliau sendiri atau adik-beradiknya perlu melakukan pemeriksaan itu.

Beliau menambah bahawa jumlah pelanggannya berkurangan semalam, dengan penjualan sewaktu makan tengah hari merosot 20 peratus jika dibandingkan dengan Isnin minggu lalu.

Encik Sufi Hassan, ketua pegawai operasi The Black Hole Group yang menguruskan rangkaian kafe seperti Tipo Pasta Bar dan Working Title Burger Bar, turut berkata penjualan mereka merosot 20 peratus jika dibandingkan dengan minggu lalu.

Bergantung pada konsep restoran, beliau berkata restoran Tipo misalnya masih menyaksikan meja mereka penuh pelanggan walaupun dihadkan kepada dua semeja, namun bagi restoran seperti Working Title, jumlah pelanggan semasa waktu tengah hari merosot disebabkan had kapasiti yang dikurangkan demi memenuhi langkah terkini.

Encik Sufi berkata terdapat juga pelanggan yang masih keliru dengan peraturan dan bertanya apa yang dibenarkan dan apa yang tidak.

"Ada yang tidak begitu pasti tentang butiran peraturan terkini dan oleh itu, mereka membatalkan tempahan dengan restoran kami.

"Ia keadaan yang rumit tetapi kami akan memaklumkan kepada pelanggan tentang peraturan terkini dan cara kami melakukan pemeriksaan," kata beliau.

Pemilik restoran Kucina, Cef Gero Di Maria Mohammed Omar, juga berpandangan bahawa orang ramai mungkin masih tidak memahami dan keliru dengan peraturan baru.

Semalam, restorannya kosong semasa waktu makan tengah hari, dengan tidak ada tempahan dari pelanggan mahupun pelanggan walk-in.

"Ada pelanggan yang batalkan tempahan dengan restoran kami walaupun ia hanya untuk dua orang. Saya rasa mereka mungkin masih tidak faham kerana peraturannya agak rumit. Mungkin keadaan akan bertambah baik selepas cuti Hari Raya Haji nanti," kata beliau.

"Ada yang tidak begitu pasti tentang butiran peraturan terkini dan oleh itu, mereka membatalkan tempahan dengan restoran kami. Ia keadaan yang rumit tetapi kami akan memaklumkan kepada pelanggan tentang peraturan terkini dan cara kami melakukan pemeriksaan." - Encik Sufi Hassan, ketua pegawai operasi The Black Hole Group.

"Ada pelanggan yang batalkan tempahan dengan restoran kami walaupun ia hanya untuk dua orang. Saya rasa mereka mungkin masih tidak faham kerana peraturannya agak rumit. Mungkin keadaan akan bertambah baik selepas cuti Hari Raya Haji nanti." - Cef Gero Di Maria Mohammed Omar, pemilik restoran Kucina.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg