Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeniaga sesuaikan operasi sedang jerebu jejas pelanggan makan di kedai
Pelanggan beralih kepada khidmat penghantaran, pilih bawa pulang makanan; peniaga pergiat promosi, kurangkan masakan elak pembaziran
Peniaga sesuaikan operasi sedang jerebu jejas pelanggan makan di kedai
Perniagaan makanan dan minuman (F&B) setempat yang terdedah kepada kesan jerebu masih meneruskan operasi seperti biasa, namun telah memperkukuh langkah penyesuaian sekiranya mutu udara terus merosot.
Bahkan, beberapa peniaga menyaksikan jumlah pelanggan yang makan di premis susut, malah ada yang mencatatkan kemerosotan sehingga 50 peratus pada September.
Peniaga yang ditemui Berita Harian (BH) berkongsi keluarga dengan anak kecil dan warga emas antara pelanggan yang kini lebih berhati-hati untuk makan di luar, khususnya di premis yang mempunyai ruang makan terbuka.
Sebaliknya, lebih ramai pelanggan kini beralih kepada khidmat penghantaran atau memilih untuk membawa pulang makanan.
Perubahan tabiat pelanggan itu berlaku ketika mutu udara Singapura merosot pada 29 September.
Bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) di kesemua lima kawasan kekal melebihi paras 101 pada 9 malam, iaitu dalam julat tidak sihat.
Antara yang terkesan ialah Chickata Cafe di City Sprouts Bedok, yang sebahagian besar ruang makannya terletak di kawasan terbuka.
Pemiliknya, Cik Jackeline Goh, berkata jumlah pelanggan pada hujung minggu lazimnya boleh mencecah sekitar 200 orang, namun kini, kadangkala tidak lebih 100 pelanggan yang datang.
Hasil perniagaan pada September turut merosot sekitar 50 peratus berbanding Ogos, katanya.
“Kesan jerebu memang ketara bagi kami kerana kami mempunyai ruang luar yang besar, dan ruang permainan kanak-kanak adalah antara tarikan utama bagi mereka.
“Ada pelanggan yang pada mulanya menempah tempat duduk di luar kerana mahu berada dekat dengan ruang permainan kanak-kanak.
“Namun, dengan keadaan jerebu, mereka akan menghubungi atau menghantar mesej untuk meminta ditukar ke tempat duduk di dalam.
“Kami juga dapat lihat ibu bapa enggan anak-anak mereka berada terlalu lama di ruang permainan luar.
“Ada yang menukar tarikh tempahan, manakala yang tetap datang memilih untuk duduk di dalam,” katanya.
Bagi menampung permintaan itu, beberapa meja dari ruang luar telah dipindahkan ke dalam, ujar Cik Goh.
Alat pembersih udara turut diletakkan di restoran itu, selain menyediakan pelitup bagi kakitangan dan pelanggan.
Dalam masa yang sama, khidmat penghantaran Chickata yang dikekalkan sejak tempoh Covid-19 mula mendapat sambutan lebih menggalakkan.
Namun, Cik Goh berkata peningkatan tersebut masih belum cukup untuk menampung kehilangan hasil daripada pelanggan yang makan di premis.
“Jika keadaan jerebu bertambah buruk, kami bersedia mempergiat usaha memaklumkan pelanggan bahawa mereka masih boleh membuat tempahan dan mendapatkan makanan menerusi khidmat penghantaran,” katanya.
Sementara itu, peniaga lain pula memilih menawarkan promosi bagi mengekalkan kunjungan pelanggan.
Tang Tea Eating House, misalnya, menawarkan potongan harga lebih 50 peratus bagi hidangan tertentu sebagai antara usaha merangsang jualan ketika jumlah pelanggan terjejas akibat jerebu.
Demikian dikongsi rakan pengasas rangkaian kedai makan itu, Cik Sylvia Ler, yang mempunyai beberapa cawangan di serata Singapura termasuk di 357 Bedok Road; 242 Jalan Kayu; dan Blok 801, Tampines Ave 4.
“Untuk menangani kemerosotan pelanggan akibat jerebu, kami menawarkan diskaun bagi beberapa hidangan, termasuk hidangan kari dan kari kepala ikan assam yang paling laris.
“Biasanya harganya $32, tetapi kini kami menawarkannya pada harga $15.90, iaitu diskaun lebih daripada 50 peratus,” kongsi beliau, yang telah menggunakan strategi sama ketika jerebu melanda pada 2015.
Cabaran yang dihadapi bukan sekadar menarik pelanggan ke kedai, tambah Cik Ler.
Beliau berkongsi, lebih ramai kakitangannya mengambil cuti sakit (MC) selepas berasa kurang sihat disebabkan jerebu.
Keadaan itu menyebabkan kekurangan pekerja dan menambah tekanan terhadap operasi kedai makan tersebut, sekali gus memperluas kesan jerebu daripada jumlah pelanggan kepada tenaga kerja, tambahnya.
Peralihan serupa kepada khidmat penghantaran turut dilihat di Cahaya Timur yang terletak di Changi Village.
“Ada pelanggan yang memberitahu kami mereka tidak mahu keluar rumah kerana anak-anak menasihatkan mereka supaya tidak berbuat demikian akibat jerebu.
“Jadi, kebanyakan mereka memilih untuk membuat tempahan dan meminta makanan dihantar ke rumah,” kata pemiliknya, Encik Jamaludin Abdul Lattif.
Perniagaan itu turut menyesuaikan jumlah makanan yang disediakan setiap hari dengan mengurangkan sekitar 15 hingga 20 peratus makanan bagi hidangan tertentu seperti nasi beriani agar mengelakkan pembaziran sekiranya jumlah pelanggan berkurangan.
Mujur, pengalaman Encik Jamaludin mengharungi pandemik Covid-19 telah menjadi bekalan bagi perniagaan yang beroperasi sejak 1985 itu untuk menyesuaikan diri sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk.
Ketika itu, Cahaya Timur beralih sepenuhnya kepada tempahan dalam talian apabila pelanggan tidak dapat makan di premis.
“Semasa Covid-19, saya terpaksa mengecilkan tenaga kerja apabila sebahagian pekerja Malaysia perlu pulang ke tanah air.
“Akhirnya, hanya beberapa pekerja Singapura yang tinggal dan mereka bekerja dalam tempoh yang lebih singkat setiap hari.
“Saya berharap keadaan seperti itu tidak berulang.
“Namun, jika ia berlaku, sekurang-kurangnya saya sudah mempunyai pengalaman mengharungi tempoh yang jauh lebih mencabar iaitu ketika Covid-19, dan masih mampu memastikan perniagaan terus berjalan,” katanya.
Pengalaman serupa turut membentuk strategi Hamidah’s Kitchen di Simpang Bedok, yang sejak awal lagi lebih bergantung kepada tempahan dalam talian berbanding pelanggan yang makan di premis.
Justeru, meskipun Hamidah’s Kitchen turut terjejas oleh jerebu, kesannya lebih sederhana, kata pemiliknya, Cik Fadilah Majid.
Jumlah pelanggan yang makan di premis dianggarkan merosot sekitar 10 peratus sejak beberapa minggu lalu, sementara tempahan dalam talian meningkat pada kadar yang sama.
“Kita dapat lihat orang memilih untuk membuat tempahan dalam talian kerana dianggap lebih selamat,” katanya.
Pelanggan turut digalakkan duduk di ruang dalam apabila tersedia, sedang kakitangan di bahagian hadapan diminta memakai pelitup kerana lebih terdedah kepada jerebu.
Mujur, lesen katering yang diperoleh sejak Ogos 2025 turut membantu mengurangkan kebergantungan Hamidah’s Kitchen kepada pelanggan yang makan di premis.
“Sebab itu kami beralih kepada katering pada 2025.
“Apabila kami lihat jumlah tempahan katering meningkat, kami sedar ada potensi yang lebih besar di situ,” kata Cik Fadilah.
Beliau berkata tempahan katering biasanya melibatkan jumlah yang lebih besar dan sekali gus membantu perniagaan menampung kemerosotan pelanggan yang datang ke kedai.
“Kalau mahu bertahan dalam F&B, kita perlu cepat fikir apa lagi yang boleh dilakukan untuk terus mampan.
“Kita tidak boleh hanya duduk dan tunggu pelanggan datang,” katanya.
“
“Jika keadaan jerebu bertambah buruk, kami bersedia mempergiat usaha memaklumkan pelanggan bahawa mereka masih boleh membuat tempahan dan mendapatkan makanan menerusi khidmat penghantaran.”“
“Kita dapat lihat orang memilih untuk membuat tempahan dalam talian kerana dianggap lebih selamat... Sebab itu kami beralih kepada katering pada 2025... Kalau mahu bertahan dalam F&B, kita perlu cepat fikir apa lagi yang boleh dilakukan untuk terus mampan. Kita tidak boleh hanya duduk dan tunggu pelanggan datang.”“
“Untuk menangani kemerosotan pelanggan akibat jerebu, kami menawarkan diskaun bagi beberapa hidangan, termasuk hidangan kari dan kari kepala ikan assam yang paling laris. Biasanya harganya $32, tetapi kini kami menawarkannya pada harga $15.90, iaitu diskaun lebih daripada 50 peratus.”ntuk menangani kemerosotan pelanggan akibat jerebu, kami menawarkan diskaun bagi beberapa hidangan, termasuk hidangan kari dan kari kepala ikan assam yang paling laris.
“Biasanya harganya $32, tetapi kini kami menawarkannya pada harga $15.90, iaitu diskaun lebih daripada 50 peratus,
“