PENILAIAN psikiatri ke atas pelajar berusia 16 tahun dari Sekolah Tinggi River Valley yang dituduh membunuh rakan sekolahnya telah lengkap, dan beliau akan ditahan reman lagi seminggu di Kompleks Polis Cantonment.
Ini didedahkan oleh pendakwaraya di mahkamah semalam, dengan remaja itu menghadap mahkamah menerusi video.
Pihak pendakwaraya berkata polis akan membuat aturan bagi keluarga remaja itu bercakap dengannya.
Remaja itu tidak boleh dinamakan kerana berusia bawah 18 tahun.
Pada 20 Julai lalu, remaja itu dituduh membunuh rakan sekolah berusia 13 tahun di tandas sekolah antara 11.16 pagi dengan 11.44 pagi. Insiden itu disyaki berlaku pada hari sebelumnya.
Mahkamah telah diberitahu remaja itu telah menjalani penilaian di Institut Kesihatan Mental (IMH) pada 2019 selepas cuba membunuh diri.
Selepas menghadap mahkamah menerusi video pada 20 Julai, remaja itu ditahan reman di Pusat Perubatan Complex di Penjara Changi dan dia dibenarkan bercakap dengan ibu bapa menerusi panggilan video yang diatur oleh polis pada 13 Ogos.
Semalam, remaja itu tampil menerusi video dengan memakai kemeja-T putih dan pelitup warna biru muda.
Dia diwakili peguam Sunil Sudheesan, yang telah memberitahunya di mahkamah beliau dan keluarganya akan bertemu dengannya tidak lama lagi.
Kes itu akan didengar lagi pada 31 Ogos. Jika sabit kesalahan bagi tuduhan membunuh, seseorang boleh menerima hukuman mati.
Namun, mereka yang berusia bawah 18 tahun akan dikenakan penjara seumur hidup.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg