Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenipuan kerja keprihatinan besar selanjutnya dengan $6.5 juta hilang pada separuh pertama 2021: Pusat Anti-Penipuan
Penipuan kerja keprihatinan besar selanjutnya dengan $6.5 juta hilang pada separuh pertama 2021: Pusat Anti-Penipuan
Penipuan kerja keprihatinan besar selanjutnya dengan $6.5 juta hilang pada separuh pertama 2021: Pusat Anti-Penipuan
JUMLAH kes penipuan kerja yang dilaporkan sewaktu pandemik Covid-19 telah bertambah dengan banyak secara mendadak.
Demikian amaran yang diberikan polis, sedang lebih ramai orang dipancing dengan tarikan pekerjaan yang mudah dijalankan tetapi menjanjikan bayaran komisen lumayan.
Pendedahan ini dibuat sedang orang ramai masih lagi terkejut dengan kehilangan sekurang-kurangnya $8.5 juta daripada akaun bank hampir 470 pelanggan OCBC tahun lalu. Sesetengahnya yang mempunyai simpanan enam angka mengalami keperitan hilang segalanya.
Dalam satu wawancafra eksklusif bersama akhbar The Straits Times minggu lalu, Superintendan Polis Michelle Tay, Ketua Pusat Anti-Penipuan, berkata polis kian melihat tambahan angka mangsa yang terjerat dengan penipuan kerja.
Ini berlaku meskipun di sebalik usaha mendekati orang ramai dipertingkat dengan lebih banyak amunisi dari segi teknologi.
Pada enam bulan pertama tahun lalu, terdapat 659 kes penipuan kerja - ia bertambah 16 kali ganda daripada hanya 40 kes pada tempoh yang sama pada 2020.
Mangsa penipuan sebegini kehilangan sekitar $6.5 juta antara Januari dengan Jun tahun lalu, meningkat daripada hanya $60,000 pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Jumlah terbanyak yang hilang daripada genggaman seorang mangsa penipuan kerja tahun lalu adalah $676,000.
Superintendan Tay berkata pandemik ini hanya memburukkan masalah dengan bayaran digital ibarat pedang bermata dua.
Katanya: "Sewaktu Covid-19, penggunaan bayaran digital bebas kontak bertambah. Ini mempertingkat kemudahan buat kita tetapi pada masa yang sama menambah kaedah operasi penipu ini. Mereka boleh dengan mudah menghasilkan akaun bank 'pseudo' atau palsu untuk memindahkan wang."
Superintendan Tay juga menggariskan lima jenis penipuan kerja yang pernah ditangani pusatnya pada beberapa bulan terkini sambil menekankan bahawa penipuan kerja menimbulkan keprihatinan sedang lebih ramai orang bekerja dari rumah.
Penipuan ini kebanyakan masanya melibatkan mangsa yang dikatakan dapat meraih komisen dengan hanya menyelesaikan tugas di laman web atau aplikasi telefon bimbit.
Bagaimanapun, mangsa pada sesuatu masa diberitahu mereka perlu memindahkan wang bagi menerima tugasan atau mendapat bayaran.
Jenis pertama penipuan kerja melibatkan mangsa diarah memuatturunkan aplikasi telefon bimbit yang tidak disahkan.
Mereka ditugaskan memindahkan wang dalam bentuk kriptowang ke dalam akaun kerja mereka dan dijanjikan komisen bagi menyelesaikan tugasan yang kononnya membantu perniagaan.
Mangsa menyedari mereka ditipu setelah mereka cuba mengeluarkan komisen daripada akaun mereka.
Jenis penipuan kedua berkembang daripada yang pertama - mereka yang menjadi mangsa pada penipuan jenis pertama dan cuba berhenti serta mengeluarkan wang akan diberi surat amaran dengan kepala surat pihak berkuasa setempat tertera.
Mangsa diberi tekanan untuk membuat pemindahan wang lanjutan kepada akaun bank atau dompet kriptowang. Jika tidak, mereka akan berdepan dengan tindakan guaman.
Terdapat juga penipuan melibatkan pemasaran gabungan yang kononnya dibuat dan jualan tiket wayang, beroperasi dalam cara yang sama dengan jenis penipuan pertama.
Jenis kelima dan terakhir, yang paling terkini dikesan, kelihatannya adalah yang paling tersembunyi dan berbahaya. Dalam satu amaran awal bulan ini, polis berkata penipu berkenaan mengundang mangsa untuk menyertai pekerjaan melibatkan penjualan produk pada aplikasi telefon bimbit palsu yang dikenali sebagai Shopee Pay.
Aplikasi ini tiada kena-mengena dengan platform e-dagang Shopee, kelihatannya sah penggunaannya kerana penipu ini mengolok-olokkan platform sebenar.
Aplikasi yang belum disahkan adalah usaha mengolok-olokkan dompet digital sebenar Shopee yang dikenali sebagai Shopee Pay, yang boleh diakses menerusi aplikasi sebenar Shopee.
Shopee tidak mempunyai aplikasi sendiri bagi dompet digitalnya.
Dalam masa sebulan, sekurang-kurangnya 11 orang kehilangan lebih $50,000 selepas mereka diperdaya memindahkan wang kepada dompet kriptowang.
Dengan penipu ini mempertingkat permainan mereka dan jumlah mangsa pula bertambah, Superintendan Tay berkata, pihak berkuasa telah beralih ke teknologi dalam usaha mereka menentang penipuan.
"Kami telah bersandarkan teknologi dan sedang memperkemas proses dalaman untuk membantu kami menangani beban kerja ini."
Sebagai contoh, Pusat Anti-Penipuan ini telah menambah automasi proses robotik kepada Projek Combat (Bot Pesanan Beroperasi Pusat Menangani Ancaman) yang memacu teknologi dan dilancarkan pada 17 Julai tahun lalu.
Menerusi kerjasama dengan unit divisyen risikan dan darat Pasukan Polis Singapura, pusat ini berupaya mengesan beberapa mangsa penipuan kerja yang berpotensi.
Sebelum ini, ia pernah mengambil purata 45 minit untuk menghubungi dan memberi amaran kepada satu orang sahaja.
Projek Combat menggunakan automasi proses robotik untuk mengirim surat makluman SMS bagi memilih semua kumpulan serentak, membolehkan mereka mendekati ratusan orang dalam masa beberapa minit sahaja.
Pusat ini telah mengendalikan lebih 6,900 campur tangan dengan cara ini menerusi Project Combat.
Teknologi ini telah membebaskan lebih banyak masa dan sumber bagi pegawai ini mengendalikan tugasan penting lain seperti menjejak dana.
Superintendan Tay menambah selain penipuan kerja, Project Combat telah diperluaskan untuk menangani penipuan pelaburan.
Ini adalah kerana mangsa pelaburan berpotensi didekati oleh penipu dalam cara yang sama dengan penipuan kerja, dengan penipu ini mengirim pesanan yang tidak diminta kepada mereka dalam kumpulan sembang besar.
Pesanan amaran automatik serupa yang pusat ini kirimkan kepada mangsa penipuan kerja berpotensi, justeru itu, boleh juga dikirimkan kepada mangsa penipuan pelaburan berpotensi.
Bagaimanapun, terdapat had pada apa yang boleh dilakukan untuk memperolehi semula wang yang mangsa alihkan kepada penipu yang kebanyakannya berada di luar negara.
Superintendan Tay menggesa orang awam agar mengikuti amaran pihak berkuasa dan mengambil ancaman penipuan ini secara serius.
Katanya: "Lebih awal anda melaporkannya, lebih cepat kita dapat mengambil tindakan masuk campur untuk memintas wang yang dialihkan. Setiap orang mempunyai peranan untuk dimainkan bagi melindungi diri kita dan orang tersayang.
"Sikap berjaga-jaga anda juga adalah barisan pertama pertahanan kami."
