KES penipuan pancingan data yang berkaitan dengan kiriman bungkusan barangan muncul semula dengan sekurang-kurangnya 454 mangsa terbabit sejak Januari tahun ini.

Jumlah wang yang lenyap mencecah sekurang-kurangnya $675,000.

Menurut polis dalam kenyataannya pada Isnin (27 Jun), mangsa akan menerima e-mel atau pesanan teks dengan pautan, di mana mereka boleh melihat maklumat mengenai kiriman bungkusan berkenaan.

Sesiapa yang klik pada pautan itu akan seterusnya dibawa ke laman palsu yang meminta mereka butiran mengenai kad kredit atau kad debit dan kata laluan bagi kegunaan sekali (OTP).

"Mangsa hanya menyedari mereka ditipu apabila mereka menemukan butiran pemindahan wang yang tidak disahkan dibuat pada kad kredit atau debit mereka, kata polis lagi.

Orang awam dinasihati agar tidak klik pada sebarang pautan yang ditemui dalam e-mel dan pesanan teks yang tidak diminta dikirimkan dan pastikan mereka mengesahkan kesahihan maklumat yang diberi dengan laman rasmi atau sumber rasmi.

Mereka juga dinasihati untuk tidak mendedahkan butiran peribadi atau perbankan internet dan melaporkan sebarang bayaran kad kredit atau debit palsu kepada bank mereka serta membatalkan kad mereka segera.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan dengan jenayah demikian boleh menghubungi talian polis di 1800-255-0000.