PEMANDU kereta Bentley yang mengancam untuk melanggar seorang pengawal keselamatan berusia 62 tahun di luar Sekolah Red Swastika telah dipenjara selama lapan minggu dan didenda $600. Neo Hong Chye, 61 tahun, juga hilang kelayakan daripada memegang semua kelas lesen memandu selama 12 bulan. Neo mengaku bersalah pada Rabu (19 Okt) atas satu pertuduhan menyebabkan kecederaan dengan melakukan perbuatan terburu-buru yang menyumbang ke hukuman penjara itu, dan satu lagi tuduhan memandu kenderaan tanpa perlindungan insurans. Neo, yang hadir di mahkamah dengan baju berbunga, diam dan berdiri dengan kepala tertunduk ketika fakta dibacakan kepadanya. Mahkamah diberitahu Neo memandu cucu perempuannya ke sekolah pada 11 Januari lalu. Dia tiba di luar sekolah dengan menaiki Bentley dan memotong barisan kereta lain, lalu dihalang memasuki premis oleh pengawal keselamatan. Neo lalu keluar dari kereta untuk bertanya kenapa dia dihalang, dan setelah diberi penjelasan, dia memasuki kereta semula dan bergerak ke depan dan dengan sengaja mencederakan pegawai keselamatan itu, yang tersandung ke belakang, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Encik Ben Mathias Tan. Pengawal keselamatan itu akhirnya beredar dan Neo memasuki kawasan sekolah. Pegawai itu mengalami lebam di lutut kanan dan diberi cuti sakit selama tiga hari. Dalam hujahnya, DPP Encik Tan berkata tindakan Neo yang terburu-buru dan agresif menunjukkan sikap tidak menghiraukan keselamatan mangsa dan pejalan kaki di sekitarnya. DPP Encik Tan menuntut hukuman penjara sekurang-kurangnya lapan minggu, denda antara $600 dengan $800, serta hilang kelayakan memandu selama 12 bulan daripada semua kelas.