Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penjara 8 minggu terima rasuah kes curi minyak Shell

Jul 6, 2022 | 5:30 AM
SEKONGKOL: Rizal Zulkeflee meninggalkan Mahkamah Negara pada April 14 lalu. - Foto fail
SEKONGKOL: Rizal Zulkeflee meninggalkan Mahkamah Negara pada April 14 lalu. - Foto fail -

SEORANG juruukur, yang ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan ke atas kapal, menerima sogokan sebanyak AS$10,000 ($14,196) daripada seorang pekerja syarikat minyak gergasi, Shell, sebagai imbalan untuk tidak mengadu tentang kes mencuri minyak gas yang berlaku di kemudahan Pulau Bukom.

Rizal Zulkeflee, 38 tahun semalam dijatuhi hukuman penjara selama lapan minggu selepas dia mengaku bersalah atas dakwaan rasuah.

Dia juga diarah membayar saman sebanyak $14,196 - jumlah rasuah yang diambil.

Mahkamah diberitahu pada atau sekitar Januari 2017, Rizal menerima wang daripada Muzaffar Ali Khan, 41 tahun, di mana kesnya belum selesai.

Rizal merupakan antara 12 juruukur yang didakwa April lalu selepas mereka didakwa menerima rasuah daripada kakitangan Shell termasuk Muzaffar dan Juandi Pungot, 45 tahun.

Sesetengah mereka, termasuk Muhammad Khairul Asri Mohamad Hanafiah, 38 tahun; Anand Omprekas, 39 tahun; Paramanandham Srinivasan, 39 tahun; dan Noruliman Bakti, 40 tahun, sebelum ini telah mengaku bersalah atas kesalahan rasuah.

Setiap seorang daripada mereka dijatuhi hukuman penjara antara empat minggu dengan lapan bulan.

Pada 31 Mac lalu, Juandi dipenjara selama 29 tahun kerana peranannya selaku dalang yang melenyapkan lebih 200,000 tan minyak gas bernilai $128 juta.

Ini merupakan salah satu hukuman penjara paling lama bagi jenayah komersial.

Semasa melakukan kesalahan, Rizal bekerja dengan syarikat SGS Testing & Control Services Singapore, sebuah firma yang menawarkan khidmat jurukur.

Dokumen mahkamah tidak menyatakan sekiranya dia masih bekerja dengan syarikat itu.

Juruukur seperti Rizal akan memeriksa jumlah kargo, termasuk minyak gas, yang dimuat naik ke dalam kapal.

Selepas menjalankan pemeriksaan, juruukur perlu sediakan laporan untuk menyatakan jumlah kargo yang dimuat naik.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Encik Norman Yew, berkata Juandi dan Muzaffar mula mendekati Rizal sekitar lewat 2016 atau awal Januari 2017.

DPP Yew menambah: "Mereka minta tertuduh supaya tidak melaporkan jumlah sebenar kargo yang dimuat naik ke atas kapal di mana SGS ditugaskan untuk memeriksa, dan tidak mengadu kecurian minyak gas di Shell Pulau Bukom, dengan menggunakan wang sebagai imbalan."

Rizal setuju berbuat demikian dan menerima AS$10,000 daripada Muzaffar.

Akibatnya, DPP Yew berkata, Rizal membantu Muzaffar, Juandi dan rakan-rakan sekongkol lain untuk menyembunyikan kecurian minyak gas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg