Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenjara bagi lelaki yang guna diploma palsu untuk mohon kerja dan menyamar sebagai penyokong
KETIKA memohon dua pekerjaan, Muhammad Rasul Kadir Ali memberi diploma palsu dalam bidang keselamatan dan pengurusan keselamatan kebakaran. Untuk menyokong kesnya dalam salah satu permohonan, dia menyerahkan nombor telefonnya sendiri sebagai dua penyokongnya untuk menyamar sebagai mereka dan memberi maklum balas baik tentang dirinya. Warga Singapura berusia 31 tahun itu dipenjara selama tiga minggu pada Rabu (5 Okt) selepas dia mengaku bersalah atas dua tuduhan menggunakan dokumen palsu dan satu tuduhan menipu dengan menyamar. Penipuannya diketahui selepas seorang pengurus sumber manusia yang menelefon penyokongnya menyedari suara mereka sama seperti suara Rasul, menjadi curiga dan menjalankan pemeriksaan. Pada 2016, Rasul ingin memohon kerja sebagai pengurus keselamatan kebakaran, tetapi tahu dia perlu mengambil masa kira-kira dua tahun untuk memperoleh diploma yang diperlukan. Pada 8 Julai 2020, Rasul menyerahkan diploma palsu sebagai sebahagian permohonan kerjanya kepada SPH Retail Property Management Services. Rasul menyerahkan diploma palsu sekali lagi pada 3 Mac 2021, ketika dia memohon pekerjaan di Serangoon Gardens Country Club.
