Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penjara buat lelaki yang ludah pegawai polis tambahan serta ancam pegawai keselamatan dengan sepana

Dec 28, 2021 | 11:02 PM
-

APABILA seorang pegawai polis tambahan yang sedang mengarah lalulintas memintanya untuk berhenti, Firdaus Juprey, tidak berpuas hati dan meludah ke arah pegawai itu.

Dia kemudian menghayun topi keledar ke arah muka si pegawai dan menggunakan kepalanya untuk menanduk pegawai berkenaan.

Firdaus yang melakukan kesalahan lain termasuk bersemuka dengan seorang pegawai keselamatan dengan sepana pada 2019, dihukum penjara 11 bulan di mahkamah pada Isnin (27 Disember).

Dia mengaku bersalah atas dakwaan itu termasuk satu kesalahan sengaja mencederakan untuk menghalang kakitangan awam daripada menjalankan tugasnya dan satu kesalahan menakut-nakutkan pegawai itu.

Menurut dokumen mahkamah, Firdaus, 34 tahun, seorang warga Singapura, sedang menunggang motosikalnya perlahan-lahan menuju ke arah simpang Pasir Ris Drive 1 dan Pasir Ris Street 51 pada 28 Mei tahun ini apabila pegawai Certis Cisco itu memintanya berhenti.

Pegawai itu dikerahkan untuk mengarah lalulintas jalan raya kerana kerja pembaikian jalan.

Selepas Firdaus enggan berhenti, pegawai itu memintanya menanti bagi arahan selanjutnya tetapi Firdaus pula kurang senang dan mula memekik ke arah pegawai itu.

Penolong Pendakwa Raya Lydia Goh berkata: "Si tertuduh tidak gembira dan mula memekik kepada si pegawai. Tiba-tiba, si tertuduh turun daripada motosikalnya, berjalan ke arah pegawai itu dan meludah ke mukanya sekali."

Sebelum beredar daripada situ, Firdaus melontar kata-kata kesat kepada pegawai yang menghubungi temannya untuk mendapatkan bantuan.

Beberapa minit selepas itu, Firdaus kembali untuk bersemuka dengan pegawai itu dan meludah ke mukanya.

Dia kemudian bertindak ganas kepada seorang lagi pegawai yang memberi respons pada panggilan bantuan pegawai yang pertama. Pegawai itu diberi amaran agar tidak masuk campur.

Dia kemudian menghayun topi keledar dalam tangannya ke arah muka pegawai pertama itu dan mencederakan hidungnya yang berdarah. Dia kemudian menanduk muka si pegawai.

Hasil satu pemeriksaan perubatan, pegawai itu didapati mengalami beberapa kecederaan termasuk bengkak di lubang hidung kanannya. Beliau diberi cuti hospital selama tiga hari.

Pada 28 Februari 2019, ketika bertugas sebagai pekerja pengiriman bagi Foodpanda, Firdaus mengirim makanan ke Bangunan Perusahaan Jordan Food di Woodlands sekitar 12.50 tengah hari.

Dia memasuki bangunan itu tanpa melaporkan diri di pos pengawal. Pegawai keselamatan yang bertugas telah memintanya untuk patah balik.

Firdaus membuat pusingan U dengan menaiki motosikal, berhenti di pos pengawal itu dan bersemuka dengannya bersama sepana yang dibawa dalam begnya.

Dia melontarkan laungan berbaur perkauman pada pegawai itu dan memberitahunya dia akan menantinya di luar bangunan itu. Pegawai itu menghubungi polis selepas Firdaus beredar.

Pada 14 Disember tahun lalu pula, Firdaus tidak senang apabila temannya yang membenarkannya tidur di van selepas bertengkar dengan keluarganya, memandu van itu dan pulang lewat.

Dia menumbuk dan menendang temannya di tempat meletak kereta berbilang tingkat dan hanya berhenti apabila si teman pengsan.

Mangsa 38 tahun itu mengalami beberapa kecederaan termasuk retak tulang hidung dan tulang rusuknya.

Dia dimasukkan ke hospital dan diberi cuti hospital 14 hari.

Hukuman Firdaus bermula sejak 28 Mei lalu.

Dia boleh dipenjara hingga tujuh tahun, didenda dan disebat atau diberi gabungan hukuman yang tertera kerana sengaja menyebabkan kecederaan bagi menghalang kakitangan awam daripada menjalankan tugasnya.

Kerana kesalahan menakut-nakutkan individu lain, dia boleh dipenjara hingga dua tahun dan didenda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg