DALAM laporan Berita Harian bertajuk 'Inflasi kian mencerut, namun cabaran, ancaman lain terus wujud' pada Sabtu lalu, 20 Ogos, kami memaparkan ilustrasi yang menunjukkan bagaimana perbelanjaan bulanan "Encik Samat" terjejas oleh inflasi yang meningkat. Berikut penjelasan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI):
Pemerintah kekal komited menyokong warga S'pura tangani kenaikan inflasi
Kami merujuk kepada laporan Berita Harian, "Inflasi kian mencerut, namun cabaran, ancaman lain terus wujud", bertarikh 20 Ogos 2022.
Infografik dalam laporan itu, yang menggambarkan perbelanjaan "Encik Samat", menunjukkan harga barangan pasar, petrol, khidmat makanan dan elektrik masing-masing meningkat sebanyak 42.9 peratus, 33.3 peratus, 11.1 peratus dan 135 peratus.
Selain petrol, kenaikan harga yang ditunjukkan jauh lebih tinggi daripada yang ditunjukkan data Indeks Harga Pengguna (CPI).
Berdasarkan CPI untuk isi rumah umum, kenaikan harga untuk makanan tidak dimasak (sebagai proksi untuk barangan pasar), khidmat makanan dan elektrik pada Jun 2022, berbanding Jun 2021, masing-masing adalah 5.6 peratus, 5.3 peratus dan 22 peratus. Kadar inflasi bagi isi rumah berpendapatan rendah juga lebih rendah.
Pemerintah memahami cabaran yang dihadapi ramai rakyat Singapura dengan peningkatan inflasi di tengah-tengah persekitaran ekonomi global yang mencabar. Pemerintah telah menyediakan bantuan khusus, termasuk pembayaran tunai, baucar CDC, dan rebat U-Save, yang akan mengurangkan kenaikan kos bagi isi rumah. Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti, dan bersedia untuk memberikan sokongan lanjut kepada rakyat Singapura jika perlu.
Cik Andrea Goh Pengarah, Divisyen Komunikasi dan Pendekatan MTI


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg