Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penjual ayam masih bertahan, harap larangan eksport dari M'sia berakhir segera

Jul 8, 2022 | 5:30 AM
PERNIAGAAN TERJEJAS: Penjual ayam di sini masih mengharapkan larangan eksport ayam Malaysia segera berakhir selepas perniagaan terus terjejas antara lain disebabkan pelanggan yang masih menginginkan ayam dari negara jiran itu. - Foto BH oleh JASON QUAH
PERNIAGAAN TERJEJAS: Penjual ayam di sini masih mengharapkan larangan eksport ayam Malaysia segera berakhir selepas perniagaan terus terjejas antara lain disebabkan pelanggan yang masih menginginkan ayam dari negara jiran itu. - Foto BH oleh JASON QUAH -

MESKIPUN mereka terus berniaga dengan menjual ayam dari negara lain, penjual ayam di Singapura masih berharap agar larangan eksport ayam Malaysia dapat segera berakhir.

Beberapa penjual ayam itu berkata mereka mengalu-alukan langkah Malaysia menghentikan larangan eksport itu kerana masih ada permintaan daripada pelanggan mereka bagi ayam dari negara jiran itu.

Bulan lalu, Malaysia membenarkan ayam kampung hidup dan ayam hitam hidup dibawa masuk ke Singapura dari negara itu.

Menurut beberapa penjual ayam di pasar basah, perniagaan mereka masih terjejas walaupun selepas mereka beralih menjual ayam kampung atau ayam beku.

Ini meskipun terdapat usaha kebelakangan ini untuk mempelbagai bekalan ayam Singapura, termasuk dengan meningkatkan import dari Thailand serta memberi kelulusan kepada Indonesia sebagai sumber baru ayam beku, sejuk dan diproses.

Pemilik Fresh & Frozen Meat Supplier di Rivervale Plaza, Encik Abdul Rahman, 62 tahun, berkata penjualannya menurun sebanyak sekitar 30 peratus sejak Malaysia melaksanakan larangan itu kerana pelanggannya masih mahukan ayam dari negara itu.

"Sekarang kami menjual ayam beku dari Brazil, tiada ayam lain untuk dijual.

"Sesetengah pelanggan tak suka ayam beku dan mereka masih bertanya tentang ayam segar," ujarnya.

Pemilik Hashim Abbas Supplier of Fresh & Frozen Chicken & Meat di Pasar Geylang Serai, Encik Hashim Abbas, 73 tahun, pula berkata beliau kini menjual ayam beku dari Brazil dan Thailand serta ayam kampung dari Malaysia.

Rata-ratanya, harga ayam yang dijual di gerainya naik sebanyak sekitar 50 sen bagi setiap kilogram dan ini telah menyebabkan penjualannya berkurangan sebanyak 50 peratus.

Malaysia melarang eksport ayam segar sejak 1 Jun lalu menyusuli kekurangan bekalan ayam di negara itu.

Sekatan itu dikenakan supaya harga dan bekalan ayam di sana dapat distabilkan.

Sementara ayam kampung hidup dan ayam hitam hidup dari Malaysia kini boleh didapatkan di Singapura, ayam segar biasa yang membentuk sebahagian besar import ayam Singapura dari Malaysia, masih dilarang.

Singapura mengimport sekitar 34 peratus bekalan ayam segar dari Malaysia dan selebihnya dari negara lain seperti Brazil dan Amerika Syarikat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg