Pemilik flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) serta ejen hartanah mereka akan mempunyai pilihan untuk menyenaraikan rumah untuk dijual secara langsung di Portal Flat HDB mulai 13 Mei.
Penambahbaikan terkini portal itu bermatlamat memudahkan proses membeli dan menjual flat, memberi pembeli dan penjual akses kepada urus niaga hartanah serta memperbaiki khidmat oleh ejen hartanah, kata HDB.
Bagi memastikan senarai di portal itu tulen, penjual perlu mengesahkan niat mahu menjual rumah mereka. Pembeli pula perlu memperoleh surat Kelayakan Flat HDB (HFE) – yang menunjukkan kelayakan mereka membeli sebuah flat, menerima geran serta cara membiayainya – sebelum dapat mengatur sesi meninjau rumah dengan penjual.
“Ini akan mempertingkat pengalaman pengguna dan menjamin ketelusan memandangkan khidmat menyenaraikan flat jualan semula ini bermatlamat menjadi wadah pasaran yang diyakini bagi kedua-dua pembeli dan penjual,” kata HDB.
Khidmat itu percuma buat masa ini, tambah HDB.
Pembeli boleh mengakses senarai dalam portal itu dan melaksanakan urus niaga dengan penjual apabila khidmat itu dilancarkan secara rasmi lewat Mei nanti. Tarikh tetap belum lagi diumumkan.
Buat masa kini, hanya ejen hartanah dibolehkan menyenaraikan rumah jualan semula di beberapa portal hartanah tertentu seperti PropertyGuru dan 99.co, yang melibatkan bayaran.
Platform lain seperti Ohmyhome dan Carousell membolehkan pemilik rumah mengeluarkan iklan secara percuma.
Di Portal Flat HDB itu, senarai tersebut, secara automatik akan mengandungi butiran seperti alamat, jenis flat, keluasan lantai dan pelan lantai daripada data HDB.
Setiap penjual hanya boleh memuat naik satu iklan, agar tiada iklan berulang.
Penjual akan diberitahu sekiranya harga yang diminta sekurang-kurangnya 10 peratus lebih tinggi daripada harga urus niaga tertinggi bagi unit serupa di lokasi berdekatan sepanjang enam bulan yang lalu. Mereka juga dimaklumkan sekiranya harga yang diminta itu terlalu rendah.
Ini agar kedua-dua penjual dan pembeli boleh membuat keputusan yang teliti berdasarkan harga yang disenaraikan itu, sekali gus menggalak pasaran hartanah yang mampan dalam jangka masa panjang.
Satu kenyataan Hutton’s Group, berkata portal baru flat jualan semula HDB itu mempertingkat ketelusan dalam pasaran hartanah.
Dengan menggunakan SingPass untuk mendaftar masuk, butiran penjual dapat disahkan. Pembeli dijamin melakukan urus niaga dengan pemilik flat yang sah.
Dalam satu kenyataan berasingan, Pegawai Eksekutif Utama PropNex Realty, Encik Lim Yong Hock, berkata khidmat baru itu bermanfaat dan boleh menggalak sesetengah pembeli dan penjual meneroka cara menjual atau membeli sebuah flat jualan semula secara sendiri tanpa mendapatkan khidmat jurujual hartanah.
“Namun kami percaya kebanyakan penjual dan pembeli berpendapat bahawa terdapat nilai yang baik apabila mereka melantik dan bekerjasama dengan seorang ejen hartanah profesional, yang mungkin boleh menggunakan khidmat penyenaraian HDB itu serta cara lain untuk menjual atau membeli flat jualan semula,” katanya.
Bagi menyediakan Portal Flat HDB itu sebagai platform satu perhentian, bagi pembeli, senarai flat jualan semula akan disepadukan dengan kalkulator kewangan, khidmat senarai pinjaman serta maklumat berkenaan surat HFE pembeli.
Pembeli juga boleh membuat perbandingan iklan flat jualan semula dengan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru dari segi harga dan baki pajakan, supaya mereka boleh membuat pertimbangan secara menyeluruh dan membuat keputusan lebih baik sebelum membeli flat mereka, kata HDB.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg