JUMLAH urus niaga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada bulan lalu merosot, menandakan pasaran yang mungkin lebih stabil selepas harga flat mencapai paras rekod.
Menurut perangkaan awal portal hartanah SRX semalam, terdapat sebanyak 2,518 urus niaga flat jualan semula pada September - kemerosotan 8.4 peratus berbanding Ogos.
Namun harga meningkat 0.9 peratus bulan lalu berbanding Ogos, melebihi paras rekod sebelum ini pada April 2013, iaitu kenaikan 0.8 peratus, berdasarkan data SRX.
Ini sekaligus merupakan kenaikan harga buat 15 bulan berturut-turut.
Kenaikan harga dicatatkan di estet matang dan bukan matang serta bagi semua jenis flat pada bulan lalu.
23 flat HDB telah dijual untuk sekurang-kurangnya $1 juta bulan lalu, kurang daripada 26 urus niaga pada Ogos.
Namun, ini menyumbang kepada 0.9 peratus daripada urus niaga penjualan semula keseluruhan bagi bulan lalu.
Sejumlah 174 flat jualan semula HDB telah dijual pada $1 juta ke atas sejauh ini, lonjakan sebanyak 278.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Cik Christine Sun, naib presiden kanan kajian dan analitik OrangeTee & Tie, memberitahu The Straits Times bahawa penjualan pada bulan lalu adalah lebih perlahan kerana harga yang terus melonjak telah membuat beberapa pembeli berpotensi untuk bersikap tunggu dan lihat.
Faktor lain ditukilnya, seperti bulan 'Hungry Ghost' dan sekatan meninjau rumah sejajar dengan Fasa Penstabilan Singapura sejak 27 September, mungkin juga menyumbang kepada keadaan itu.
Ketua Eksekutif Huttons Asia, Encik Mark Yip juga mengakui bahawa terdapat sentimen pembeli yang menentang kadar harga sekarang.
"Kenaikan harga bulanan purata bagi enam bulan lalu adalah sekitar 1 peratus, lebih rendah daripada kadar kenaikan bulanan purata pada awal 2021," ujarnya.
Perangkaan awal HDB pada awal bulan ini menunjukkan yang harga flat jualan semula tumbuh 2.7 peratus pada suku ketiga, berbanding tempoh tiga bulan sebelumnya.
Ini lebih rendah daripada kenaikan 3 peratus yang dicatatkan pada suku pertama dan kedua pada tahun ini.
Encik Yip berkata penangguhan binaan telah membataskan bekalan flat yang ditawarkan untuk dijual oleh mereka yang ingin berpindah ke rumah lebih besar.
"Di samping itu, permintaan lebih tinggi untuk flat empat bilik dan flat lebih besar, terdapat ketidakseimbangan bekalan dan permintaan dalam pasaran, lantas memberi penjual kelebihan dalam meletakkan harga," tambah beliau.
Encik Yip menjangkakan, walaupun dengan rentak penjualan yang mungkin lebih perlahan, jumlah keseluruhan flat jualan semula yang dijual tahun ini akan mencecah di antara 28,000 dengan 29,000 flat.
Ini adalah lebih tinggi daripada 24,748 permohonan untuk flat jualan semula yang didaftarkan tahun lalu apabila sekatan Covid-19 adalah lebih ketat - tetapi juga paling tinggi sejak 2010, yang melaporkan lebih 32,000 flat jualan semula terjual.
"Kenaikan harga bulanan purata bagi enam bulan lalu adalah sekitar 1 peratus, lebih rendah daripada kadar kenaikan bulanan purata pada awal 2021.
Di samping itu, permintaan lebih tinggi untuk flat empat bilik dan flat lebih besar, terdapat ketidakseimbangan bekalan dan permintaan dalam pasaran, lantas memberi penjual kelebihan dalam meletakkan harga." - Ketua Eksekutif Huttons Asia, Encik Mark Yip.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg