PENJUALAN kotak Android TV haram kembali di pusat beli-belah teknologi Sim Lim Square setelah kejadian menentang cetak rompak berlaku pada 2018 yang dibawa ke mahkamah.

Di pusat beli-belah berhampiran Jalan Besar, kedai-kedai dilihat memaparkan penjualan kotak yang mempunyai akses kepada kandungan penstriman dalam talian, dengan kakitangan kedai meyakinkan pelanggan bahawa kotak itu tidak menyalahi undang-undang.

Menurut laporan The Straits Times, (ST) akhbar itu melihat sekurang-kurangnya tujuh kedai menjual kotak TV itu apabila ia mengunjungi pusat tersebut pada Jumaat lalu.

Sekitar empat model yang berlainan ditawarkan dengan harga antata $100 hingga $230.

Kotak Android TV yang lebih mahal mempunyai akses yang lebih luas kepada filem yang terkini dan rancangan TV, misalnya filem Red Notice di Netflix, rancangan WandaVision di Disney+ dan filem Doctor Strange In The Multiverse Of Madness yang masih disiarkan di panggung wayang. Antara lain, ia juga menawarkan saluran sukan seperti perlawanan bola sepak Liga Perdana England (EPL).

Antara lain, pengguna tidak memerlukan akaun Netflix atau Disney+ untuk mengakses rancangan tersebut kerana bayaran akaun itu telah "dilunaskan". Kakitangan itu pula menambah bahawa penstriman itu tidak dapat dikesan.

Selain itu, banyak penjualan kotak Android TV itu dapat dilihat di wadah Carousell dengan penjual yang mendakwa bahawa jualannya itu tidak menyalahi undang-undang. Terdapat beberapa penjual juga berkata undang-undang berkait penjualan kotak itu tidak jelas.

Penjual masih mendakwa sedemikian meskipun Akta Hak Cipta telah dipinda November tahun lalu yang secara jelas melarang penjualan kotak penstriman media dengan perkhidmatan "tambahan" yang membantu pengguna mengakses kandungan cetak rompak.

Menurut jurucakap Carousell, beliau berkata platformnya melarang penjualan kotak haram itu.

Menurut ST, setelah menghubungi Carousell, penjualan kotak-kotak itu di platformnya sudah tiada.

Sebelum perubahan kepada undang-undang bermula, pemegang hak cipta mendapati sukar menggunakan cara biasa yang dicipta semasa era DVD berbanding penjual kotak TV yang mendapat manfaat daripada penjualan perkhidmatan tambahan ini.

Di bawah undang-undang yang dipinda, pesalah boleh dipenjara sehingga lima tahun, denda sehingga $100,000, atau kedua-duanya sekali. Syarikat yang didapati bersalah berbuat demikian boleh didenda sehingga $200,000.