Pensyarah NP yang 'serang' kekasih berlainan kaum dengan kata-kata perkauman digantung dari tugas mengajar
Pensyarah NP yang 'serang' kekasih berlainan kaum dengan kata-kata perkauman digantung dari tugas mengajar
SEORANG lelaki yang dituduh mendatangi pasangan kekasih berlainan kaum di Orchard Road pada petang Sabtu (5 Jun) dan melontar komen perkauman terhadap mereka telah digantung daripada tugas mengajarnya, kata Politeknik Ngee Ann (NP).
Dalam respons sebagai menjawab soalan akhbar The Straits Times, jurucakap NP mengesahkan pada Isnin bahawa lelaki itu adalah kakitangannya.
"Kami mengambil perkara ini secara sangat serius kerana kata-kata yang diluahkan individu itu sangat menyakitkan hati, tidak menghormati dan melanggar kod tata laku dan nilai sebagai anggota masyarakat," kata jurucakap itu.
Difahamkan lelaki itu adalah pensyarah kejuruteraan di politeknik itu.
NP kini menjalankan siasatan dalaman dan memikirkan kemungkinan mengenakan tindakan disiplin sewajarnya buat lelaki itu.
Pihak polis pula berkata pada Ahad bahawa lelaki berusia 60 tahun kini membantu polis dengan siasatan.
Di dalam video yang disebar secara meluas dalam talian, seorang lelaki Cina dilihat bersemuka dengan pasangan daripada kaum berbeza itu dengan mengatakan, cukup memalukan bagi gadis Cina dan lelaki India menjalin hubungan bersama.
Video itu dimuatnaikkan pada pagi Ahad (6 Jun) oleh Encik Dave Parkash yang dituduh lelaki Cina itu mengambil kesempatan ke atas seorang gadis Cina.
Sejak dimuatnaikkan ke dalam talian, video itu menarik lebih 16,000 perkongsian dengan beberapa Anggota Parlimen mengecam lelaki Cina itu.
Ketika dihubungi akhbar The Straits Times, Encik Parkash, 26 tahun, berkata beliau terkejut dengan kata-kata lelaki Cina itu tetapi terharu apabila mendapat sokongan luar biasa daripada warganet. Beliau menambah beberapa orang malah membantu membuat laporan polis bagi pihak beliau dan temanitanya.
Encik Parkash menjelaskan beliau memuatnaikkan video itu di Internet kerana beliau rasa perlu memupuk kesedaran ramai bahawa perkauman sebegitu masih wujud di Singapura. Beliau bagaimanapun tidak menjangkakan video itu menjadi tular.
Encik Parkash dan temanitanya, Cik Jacqueline Ho, 27 tahun, berada di Orchard Road apabila kejadian itu berlaku.
Sedang Encik Parkash bersemuka dengan lelaki Cina itu, Cik Ho merakam video sembilan minit tersebut.
Encik Parkash menambah, dengan memuatnaikkan video tersebut dalam talian, beliau berharap orang ramai tahu, "memalukan orang lain berdasarkan kaum dan warna kulit bukan sesuatu yang boleh diterima".
"Kita tidak boleh menjadikannya (perkauman) kebiasaan dan menyoroknya tetapi sebaliknya kita harus berani memperjuangkannya," jelas Encik Parkash yang memiliki kedai aiskrim.
Beliau menambah ini bukan kali pertama beliau berdepan dengan lontaran komen perkauman apabila keluar dengan Cik Ho. Bagaimanapun, kejadian terkini itu agak memalukan.
Sepanjang tujuh tahun menjalin hubungan cinta, terdapat beberapa peristiwa di mana mereka bertemu dengan orang yang memandang mereka dengan rasa tidak senang seakan-akan tidak mempersetujui hubungan mereka, tambah Encik Parkash, yang menganggapnya sebagai perkauman yang secara halus cuba diselindungi.
Mereka berdua berdarah kacukan. Encik Parkash adalah kacukan India dan Filipina manakala Cik Ho, seorang pereka bentuk pengalaman pengguna, berdarah kacukan Cina Singapura dan Thailand.
"Sememangnya sebelum ini kami rasa tidak selesa tetapi setelah bertahun lamanya bersama, kami belajar untuk tidak membenarkan perkara ini mengganggu kami kerana kami tidak buat sebarang kesalahan," jelas Encik Parkash.
Mereka berdua menambah ibu bapa mereka sekian lama menyokong hubungan mereka dan terkejut mendengar tentang peristiwa terkini itu.
Bagaimanapun, Encik Parkash dan Cik Ho gembira bahawa Encik Parkash berpegang teguh pada pendiriannya sepanjang pertembungan pendapat dengan lelaki Cina itu dan stigma terhadap hubungan berbeza kaum kini boleh dibincangkan secara terbuka dengan orang awam memandangkan video itu sudah tular.

