Terdapat minat yang kian bertambah dalam kalangan rakyat Singapura untuk menelusuri asal usul keluarga masing-masing, sedang semakin ramai berusaha memahami dari mana mereka berasal dan memelihara kisah keluarga yang diwariskan turun-temurun.

Walaupun masyarakat Melayu di Singapura sering dilihat sebagai satu kelompok yang homogen, sejarah keluarga sebenarnya mendedahkan akar keturunan yang pelbagai merentasi Nusantara, dibentuk oleh latar budaya dan pengalaman hidup yang berbeza.

Demikian antara pemerhatian yang dikongsi Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Suriani Suratman, dalam sesi panel sempena Hari Pencarian Keturunan Melayu (Mas), anjuran Persatuan Salasilah Singapura (GSS) di The POD, Bangunan Perpustakaan Negara, pada 6 Jun.

Menurut Dr Suriani, penyelidikan salasilah keluarga membolehkan seseorang memahami bukan sahaja asal-usul keluarganya, malah kisah, budaya dan pengalaman yang membentuk identiti mereka hari ini.

“Masyarakat Melayu mungkin kelihatan homogen pada peringkat kategori atau statistik. Tetapi apabila kita melihat kisah keluarga dan pengalaman hidup mereka, kita dapat melihat kepelbagaian yang sebenarnya telah lama wujud dalam masyarakat,” katanya.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Prof Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata Hari MAS bukan sekadar mengenai pencarian salasilah keluarga, malah usaha memahami cerita, kenangan dan sejarah yang diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Prof Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata Hari MAS bukan sekadar mengenai pencarian salasilah keluarga, malah usaha memahami cerita, kenangan dan sejarah yang diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Prof Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata Hari Mas bukan sekadar mengenai pencarian salasilah keluarga, tetapi juga usaha memahami perjalanan hidup, budaya dan warisan yang membentuk masyarakat hari ini.

“Kita juga bercakap tentang cerita, kenangan dan sejarah yang diwariskan daripada satu generasi kepada generasi yang lain,” katanya.

Antara yang berkongsi pengalaman ialah Cik Nora Samosir, seorang keturunan Batak, yang menekankan kepentingan mengetahui Tarombo atau salasilah keluarga dalam budaya masyarakatnya.

“Sukar mengaku Batak jika tidak mengetahui tarombo sendiri,” katanya.

Bagi Cik Fathiah Samad, pemegang ijazah Bahasa dan Kesusasteraan Arab yang berketurunan Boyan, pencarian akar keturunannya bermula ketika beliau menuntut di United Kingdom, selepas seorang pensyarah bertanya sama ada beliau mengetahui asal-usul keluarganya.

Soalan itu mendorong beliau untuk menelusuri sejarah keluarga sendiri dan memahami warisan yang diwarisi daripada generasi terdahulu. Turut berkongsi pengalaman ialah Encik Sarafian Salleh, seorang keturunan Bugis, yang mengambil masa sekitar tujuh hingga lapan tahun untuk mengumpulkan maklumat mengenai sejarah keluarganya.

“Ia mengambil masa sekitar tujuh hingga lapan tahun untuk saya mengumpulkan maklumat tentang keluarga saya,” katanya.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Suriani Suratman, berkata pencarian salasilah keluarga dapat membantu masyarakat memahami kepelbagaian akar keturunan, budaya dan pengalaman yang membentuk identiti masyarakat Melayu Singapura hari ini seterusnya.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Suriani Suratman, berkata pencarian salasilah keluarga dapat membantu masyarakat memahami kepelbagaian akar keturunan, budaya dan pengalaman yang membentuk identiti masyarakat Melayu Singapura hari ini seterusnya. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Dr Suriani berkata pencarian salasilah keluarga bukan sekadar usaha mengenali masa lalu, malah membantu memelihara kisah, nilai dan pengalaman generasi terdahulu agar dapat diwariskan kepada generasi akan datang.