WALAUPUN penggunaan bahasa Inggeris yang meluas dalam kalangan anak muda suatu yang tidak dapat dielak, penting untuk memastikan mereka berupaya berdwibahasa dan turut mengamalkan penggunaan bahasa Melayu juga, kata Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman semalam.
Justeru, perlu untuk mempergiat usaha meningkatkan keupayaan dwibahasa anak-anak Melayu dari peringkat sekolah lagi, dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) akan meneruskan usahanya dalam menggalakkan penggunaan dan pembelajaran Bahasa Melayu, tambah Dr Maliki yang juga merupakan pengerusi MLLPC.
Sejajar dengan usaha itu, acara anjuran MLLPC bagi mempromosikan penggunaan bahasa Melayu di luar bilik darjah, Fiesta Bahasa, dilancarkan semalam.
Bertemakan Kembara Maya, Teroka Bahasa, e-Fiesta Bahasa itu dijalankan secara maya sehingga 31 Ogos ini.
Mengulas lanjut, Dr Maliki berkata:
"Konsep dwibahasa bukan sesuatu yang baharu. Tetapi apa yang harus kita lakukan ialah memberi wadah baharu... cara kita mendedahkan anak-anak kita kepada kedua-kedua bahasa ini adalah penting.
"Saya mengharapkan bahawa guru, anggota masyarakat, ibu bapa juga memahami akan kepentingan berdwibahasa supaya lebih ramai di antara mereka akan lebih fasih menggunakan kedua-dua bahasa walaupun ada satu bahasa yang dikatakan bahasa dominan, tetapi ini tidak bermakna bahasa ibunda tidak digunakan."
Menerusi laman web fiestabahasa.sg, ibu bapa dan pelajar boleh mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan bahasa dan budaya.
Ini termasuk permainan interaktif, sesi perkongsian tentang bagaimana ibu bapa boleh menyokong anak-anak mereka dalam pembelajaran bahasa Melayu di rumah, serta permainan 'Escape Room' 3D.
Antara ibu bapa yang mengambil bahagian ialah Cik Nur Farhani Mohamad Rashid, 38 tahun.
Beliau yang telah bermain kegiatan silang kata bersama anaknya, Aryssa Nabilah Mohamad Rasdi, 11 tahun, berkata pembelajaran interaktif sebegitu adalah baik dan perlu diteruskan supaya anak-anak lebih cenderung meneroka bahasa Melayu.
Berkongsi perkara berguna yang telah diraih, ibu dua anak itu berkata tentang penggunaan digital yang membolehkan pembelajaran berlaku di mana sahaja dan tidak terbatas kepada buku sahaja.
"Dengan peraliran masa, kita sebagai ibu bapa harus mengikuti perkembangan dunia digital. Selain buku, saya sering menggunakan media sosial sebagai wadah menimba atau berkongsi ilmu. Anak-anak lebih tertarik dengan wadah ini kerana ia lebih interaktif," ujar penolong eksekutif itu.
Penolong Professor Dr Elmie Nekmat dari Jabatan Perhubungan dan Media Baru, Universiti Nasional Singapura (NUS), yang merupakan antara penceramah undangan, berkongsi bahawa ibu bapa boleh menggunakan cara inovatif seperti audio siar untuk mengakses kandungan bahasa Melayu.
Menurutnya, teknologi boleh dimanfaatkan dalam pembelajaran teradun untuk meningkatkan lagi taraf dan mutu pendidikan anak-anak.
Semalam, MLLPC turut membentangkan logo bagi meraikan ulang tahunnya yang ke-15.
Disebabkan sekatan Covid-19, sambutan ulang tahun ke-15 yang sepatutnya diadakan tahun lalu, ditunda kepada tahun ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg