SETIAP tahun, lebih 80,000 kapal melalui Selat Melaka dan Singapura, membawa sepertiga barangan dagangan dunia.
Satu perenam bekalan minyak dunia juga melalui perairan itu, ujar Menteri Penyelaras Bagi Prasarana merangkap Menteri Pengangkutan, Encik Khaw Boon Wan.
Oleh itu, amat penting selat itu kekal "terbuka, selamat dan bersih", katanya di Forum Kerjasama Ke-11 - salah satu daripada tiga tunggak Mekanisme Kerjasama Keselamatan bagi Navigasi dan Perlindungan Sekitaran di Selat Melaka dan Singapura.
Forum itu merupakan wadah utama bagi Indonesia, Malaysia dan Singapura, dan masyarakat kelautan antarabangsa menangani isu-isu yang menjadi keprihatinan bersama, bertukar maklumat dan mengongsi perspektif terhadap isu penting berkaitan selat itu.
Ketiga-tiga negara itu telah memanfaatkan forum tersebut bagi membincangkan cara bekerjasama, dan salah satu inisiatif kerjasama itu merupakan tinjauan hidrografik selat yang dilakukan bersama Jepun, kata Encik Khaw dalam majlis pembukaan forum dua hari itu di Hotel Grand Hyatt hari ini (24 September).
Maklumat yang dikumpul menerusi tinjauan itu akan digunakan bagi menghasilkan carta navigasi elektronik yang lebih terperinci dan terkini.
Projek itu "hampir 40 peratus siap" sejak dilancarkan tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020.
"Indonesia, Malaysia dan Singapura juga telah meningkatkan kerjasama dalam hal operasi, dan meningkatkan respons kecemasan bagi kejadian seperti tumpahan dan kemalangan feri,'' ujar Encik Khaw.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg