Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penting pastikan kesihatan kaum wanita dijaga: Rahayu

Sekitar 370,000 wanita mendapat manfaat daripada 1 juta pemeriksaan bersubsidi, sejajar usaha pemerintah terapkan inisiatif SG Lebih Sihat
Oct 17, 2022 | 5:30 AM
TERAPKAN GAYA HIDUP SIHAT: Cik Sun (empat dari kiri) bersama Cik Rahayu (lima dari kiri) menyertai salah satu aktiviti menari semasa Karnival Wanita Sihat, Keluarga Lebih Sihat di One Punggol semalam. - Foto BH oleh FELINE LIM
TERAPKAN GAYA HIDUP SIHAT: Cik Sun (empat dari kiri) bersama Cik Rahayu (lima dari kiri) menyertai salah satu aktiviti menari semasa Karnival Wanita Sihat, Keluarga Lebih Sihat di One Punggol semalam. - Foto BH oleh FELINE LIM -

DALAM usaha pemerintah untuk menerapkan inisiatif 'Healthier SG', atau SG Lebih Sihat, ia adalah penting untuk memastikan setiap golongan berbeza dalam masyarakat digalakkan untuk menjaga kesihatan mereka, terutamanya golongan wanita, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam.

Mengakui banyak peranan yang dimainkan oleh golongan wanita dalam hidup mereka, Cik Rahayu menambah bahawa ia semakin penting untuk golongan ini memastikan keperluan kesihatan mereka ditangani pada pelbagai fasa kehidupan.

"Golongan wanita terutamanya menghadapi pelbagai cabaran khusus.

"Namun, dari segi kesihatan, terdapat beberapa sokongan yang kami boleh tawarkan kepada golongan ini," katanya.

Antara masalah kesihatan ini termasuk penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan beberapa penyakit di fasa lanjut usia dalam kehidupan.

Demikian dinyatakan Cik Rahayu kepada pihak media semasa Karnival Wanita Sihat, Keluarga Lebih Sihat yang diadakan di One Punggol semalam.

Dianjurkan bersama oleh Persatuan Osteoporosis Singapura dan Majlis Rangkaian Integrasi Wanita (Win) Persatuan Rakyat (PA) buat pertama kali, ia diharap dapat menghimpunkan usaha mempromosikan kesihatan, acara dan aktiviti oleh ahli Jawatankuasa Kesihatan Wanita (WHC).

Bertemakan "Fasa Kehidupan Wanita", karnival ini bertujuan mendidik kaum wanita tentang keperluan kesihatan yang berbeza merentasi fasa penting dalam kehidupan dan menggalakkan mereka untuk menjaga kesihatan diri, dan dengan demikian, dapat menjaga kesihatan keluarga mereka.

Turut menghadiri acara tersebut ialah Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling.

Semalam, ramai rakan kongsi dalam masyarakat telah bergabung usaha untuk menampilkan beberapa inisiatif dan sokongan sedia ada untuk menggalakkan golongan wanita menjaga kesihatan.

Antara mereka termasuk Persatuan Barah Singapura (SCS); WINGS, sebuah pertubuhan tidak mencari untung (NPO) yang memberi tumpuan untuk membantu wanita yang meningkat tua dengan baik dan bermatlamat; Yayasan Jantung Singapura (SHF) dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

Acara tersebut menampilkan pelbagai sesi ceramah, bengkel dan juga aktiviti khas untuk golongan wanita.

Mengulas tentang acara tersebut, Cik Rahayu, yang juga merupakan pengerusi WHC, berkata acara ini adalah pameran bagi orang ramai mempelajari tentang sokongan yang ada di dalam masyarakat.

"Ini yang kita ingin galakkan.

"Kita ingin mempermudahkan orang ramai mendapatkan maklumat supaya dapat menjalani kehidupan yang sihat pada masa yang akan datang," katanya, yang berharap lebih banyak acara seperti meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang kesihatan golongan wanita dapat terus diadakan.

Memberikan inisiatif Pemeriksaan Sepanjang Hayat Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), Cik Rahayu berkata kira-kira 370,000 wanita telah mendapat manfaat daripada hampir sejuta pemeriksaan mamogram bersubsidi sejak 2002 yang mengesan barah terhadap lebih 4,800 orang.

Cik Rahayu berkata hampir 90 peratus daripada wanita ini didiagnosis pada peringkat awal kanser payudara yang memberi peluang yang lebih baik untuk hidup.

Bagi wanita berumur 50 tahun ke atas, adalah penting untuk menjalani pemeriksaan mamogram setiap dua tahun sekali.

Menurut Laporan Pendaftaran Kanser Singapura 2019, kejadian kanser payudara telah meningkat kira-kira 3.5 kali ganda dalam tempoh lima dekad yang lalu.

Mereka daripada kumpulan umur tertentu layak untuk menyertai Program Pemeriksaan Sepanjang Hayat di mana mereka boleh mendapatkan pemeriksaan bersubsidi seperti mamogram pada harga $5 atau kurang.

"Golongan wanita terutamanya menghadapi pelbagai cabaran khusus.

Namun, dari segi kesihatan, terdapat beberapa sokongan yang kami boleh tawarkan kepada golongan ini...

Kita ingin mempermudahkan orang ramai mendapatkan maklumat supaya dapat menjalani kehidupan yang sihat pada masa yang akan datang."

- Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg