BEBERAPA acara Peringatan Pertahanan Mutlak (TDDCE) telah diadakan di sini termasuk di Kelab Masyarakat (CC) Chua Chu Kang pada Rabu sempena Hari Pertahanan Mutlak.
Acara-acara tersebut menekankan pentingnya peranan Pertahanan Mutlak sebagai tindak balas terhadap ancaman yang dihadapi Singapura.
Hadir di acara CC Chua Chu Kang itu itu ialah Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
"Hari Pertahanan Mutlak ialah suatu peringatan berterusan kepada kita semua bahawa kita tidak boleh mengambil mudah tentang keselamatan, keamanan dan kestabilan Singapura."
"Kita perlu terus berlatih dan mengingatkan diri bahawa kita mesti bersedia apabila krisis berlaku," kata Encik Gan.
Pasukan Bertindak Keselamatan Maritim (MSTF) dari Angkatan Laut Republik Singapura (RSN), Agensi Air Negara (PUB) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) turut mengadakan pameran semasa acara tersebut.
Pameran itu mengajar orang awam tentang antara lain peranan MSTF melindungi laut Singapura dan memastikan barangan keperluan seperti makanan sampai dengan selamat.
SCDF turut mengajar bagaimana seseorang boleh mempraktikkan kemahiran menyelamatkan nyawa jika kecemasan berlaku.
Pelajar bidang Pengajian Seni Masakan dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) College West turut menyediakan makan tengah hari untuk peserta dengan menggunakan makanan dengan jangka hayat simpanan yang panjang.
Bahan-bahan termasuk cendawan hitam, taucu dan kulit tahu. Ia menekankan bahawa terdapat pilihan makanan alternatif jika Singapura berhadapan dengan gangguan bekalan global.
Sebelum ini, acara latihan simulasi komuniti Pertahan Mutlak, atau 'Total Defence Community Table-Top Exercise' (TTX), diadakan buat pertama kali pada Isnin.
TTX telah mengumpulkan 47 peserta dari pelbagai latar belakang untuk membincangkan potensi kesan isu yang mempengaruhi Singapura, sambil membangunkan pelan masyarakat yang boleh dilaksanakan jika krisis seperti gangguan bekalan dan perkhidmatan berlaku.
Acara itu menekankan bagaimana individu, masyarakat, perniagaan dan pemerintah boleh bersatu untuk meningkatkan kesediaan apabila menghadapi krisis dan gangguan.
Setiap rakyat Singapura mempunyai peranan penting untuk dimainkan demi melindungi negara ini. COVID-19 telah menjadi bukti yang jelas tentang kekuatan Pertahan Mutlak yang membantu Singapura mencapai Tahap Syarat Sistem Respons Wabak Penyakit (Dorscon) hijau. Ini kerana rakyat Singapura telah bersatu dan mempercayai antara satu sama lain semasa krisis dan ketidaktentuan... Orang ramai, rakyat dan sektor swasta mesti bekerjasama untuk menjamin keamanan, kemajuan dan kemakmuran Singapura."
- Presiden Halimah Yacob, dalam catatan Facebook.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg