Penumpang kapal persiaran ke-100,000 terima durian runtuh
Penumpang kapal persiaran ke-100,000 terima durian runtuh
BAK pepatah durian runtuh, percutian atas kapal persiaran bagi Encik Amin Abdul Rahim sekeluarga menjadi lebih manis setelah mereka memenangi koleksi hadiah tanpa disangka.
Ini kerana Encik Amin dan keluarganya menjadi tetamu kapal persiaran ke-100,000 Singapura sejak program perintis kapal persiaran dilaksanakan pada November tahun lalu.
Kemenangan Encik Amin sekeluarga itu disambut syarikat kapal persiaran Dream Cruises dan Pusat Kapal Peleseran Marina Bay Singapura baru-baru ini apabila mereka bercuti di atas kapal World Dream selama tiga hari sehingga Ahad lalu.
Sebagai tetamu bertuah itu, mereka sekeluarga menerima hadiah termasuk bilik penginapan suite The Palace bagi pelayaran mereka, menurut Dream Cruises dalam satu kenyataan semalam.
The Palace, yang merupakan penginapan konsep mewah dalam kumpulan kapal Dream Cruises, menampilkan daya tarikan hotel butik dengan eksklusif rumah kelab privet.
Tetamu antara lain boleh menikmati pengalaman santapan mewah dan pelbagai kegiatan pengayaan.
"Saya dan keluarga terkejut dan sangat gembira menjadi penumpang kapal persiaran ke-100,000 kerana ini merupakan kali pertama kami menaiki World Dream. Kami mendengar banyak perkara baik tentang kapal persiaran ini dan kami tidak sabar mencuba masakan disahkan halal yang sangat penting bagi kami.
"Kami juga teruja mengalami suasana The Palace dan tidak sabar mengongsi pengalaman kami dengan keluarga dan rakan-rakan," kata Encik Amin.
Di bawah program perintis kapal persiaran selamat itu, syarikat kapal persiaran yang diberi lampu hijau boleh menawarkan percutian pelayaran tanpa destinasi kepada pelanggan warga Singapura dan beroperasi pada muatan 50 peratus sahaja.
Pelayaran pergi balik itu tidak akan berhenti di mana-mana pelabuhan, dan perlu melaksanakan langkah-langkah pemeriksaan dan keselamatan yang ketat untuk mencegah penularan koronavirus di atas kapal.
Sebagai bukti komitmen berterusan mereka terhadap keselamatan dan kesejahteraan tetamu dan kru, Presiden Dream Cruises, Encik Michael Goh, mengumumkan bahawa kapal World Dream baru-baru ini menjadi kapal persiaran yang pertama di dunia menerima Pensijilan dalam Pencegahan Jangkitan - Maritim (CIP-M) tiga tahun dari persatuan klasifikasi DNV - pakar bebas dalam jaminan dan pengurusan risiko
Sijil itu melengkapi Pensijilan CruiseSafe oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan DNV.
"Setelah merintis kapal persiaran selamat di Singapura, kami gembira menjadi sebahagian daripada detik penting ini untuk meraikan penumpang kapal persiaran ke-100,000 Pusat Kapal Peleseran Marina Bay Singapura sejak program itu bermula dan yang belayar atas World Dream pada 12 Mac 2021.
"Kami berharap dapat terus menyambut kedatangan lebih ramai penduduk Singapura atas World Dream sepanjang tahun ini," kata beliau.

