Seorang lelaki berusia 51 tahun didakwa pada Isnin atas satu pertuduhan menyebabkan kecederaan dan satu lagi pertuduhan menyebabkan kecederaan teruk.
Tan Yew Huat didakwa menggunakan kata–kata kesat dan menumbuk muka seorang pemandu teksi, Encik Sim Aik Kin, menyebabkan hidungnya berdarah.
Pertikaian itu difahamkan berlaku selepas Tan, yang menunggang sebuah e–basikal, merempuh pintu teksi Encik Sim yang terbuka di 330 Balestier Road pada 29 Mei 2022.
Tan didakwa menghina Encik Sim dengan niat menekan perasaan pemandu teksi itu.
Tan berkata di mahkamah bahawa dia berniat mengaku salah tetapi tidak akan mendapatkan khidmat peguam bela.
Polis berkata mereka dimaklumkan mengenai pertikaian itu sekitar 7.20 malam. Siasatan awal mendapati Tan melanggar pintu belakang teksi di sebelah kiri selepas seorang penumpang membukanya untuk keluar dari teksi.
Tan kemudian didakwa menggunakan kata–kata kesat kepada Encik Sim dalam bahasa Hokkien dan menumbuk mukanya. Encik Sim difahamkan mengalami patah tulang hidung akibat tumbukan itu.
Dia juga didakwa mengambil tong besi dan menghayunnya ke arah Encik Sim, yang menghalangnya dengan tangan kirinya.
Tan ditahan polis kemudian.
“Kami memandang serius kesalahan perbuatan ganas yang dilakukan di khalayak ramai. Mereka yang membahayakan keselamatan orang ramai akan ditangani dengan tegas,” kata polis.
Tan dijangka kembali ke mahkamah pada 17 Julai.
Pesalah yang sengaja menyebabkan kecederaan teruk boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda atau dirotan.
Pesalah yang sengaja menyebabkan kecederaan boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga $5,000, atau kedua–duanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg