Penunggang e-skuter dan e-basikal perlu lulus ujian teori akhir tahun ini: LTA
Penunggang e-skuter dan e-basikal perlu lulus ujian teori akhir tahun ini: LTA
PENUNGGANG basikal yang menggunakan kuasa (PAB), atau basikal elektrik (e-basikal), perlu menduduki dan lulus ujian teori dalam talian sebelum akhir tahun ini untuk menggunakan alat itu di laluan awam atau jalan raya.
Penunggang akan diberikan 40 minit untuk menjawab 40 soalan.
Penunggang e-skuter pula perlu menjawab 30 soalan dalam masa 30 minit.
Untuk lulus ujian tersebut, yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang peraturan mobiliti aktif, penunggang perlu mendapatkan skor sekurang-kurangnya 80 peratus.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), yang telah mengumumkan butiran ujian tersebut semalam, berkata mereka yang lulus akan menerima sijil digital yang tidak mempunyai tarikh tamat.
Kenyataan itu menambah ia memberikan masa bagi penunggang bersiap sedia menghadapi ujian tersebut yang akan dilancarkan 1 Julai, sebelum peraturan tersebut dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun depan.
"Mulai 1 Januari 2022, penunggang perlu menunjukkan sijil digital apabila diminta oleh pegawai penguat kuasa," kata LTA.
"Kami menggalakkan penunggang supaya mendaftar dan mendapatkan sijil tersebut secepat mungkin sebaik pendaftaran dibuka pada 30 Jun."
Penunggang boleh mendaftarkan diri untuk menjalani ujian tersebut mulai 30 Jun melalui Akademi Pendidikan Berterusan bagi golongan Dewasa dan Karyawan di Politeknik Singapura (SP).
Mereka yang mendaftar antara 30 Jun dengan 30 September akan diberi diskaun dan perlu membayar $5, dan boleh menjalani ujian tersebut sekali lagi jika gagal percubaan pertama.
Mereka yang mendaftar selepas 30 September perlu membayar $10 bagi setiap percubaan.
Ujian itu akan dilakukan dalam talian dan ditawarkan dalam empat bahasa rasmi - Inggeris, Mandarin, Melayu dan Tamil.
Peruntukan khas akan dibuat berdasarkan kes bagi mereka yang tidak mahir dengan teknologi atau buta huruf.
Menurut LTA penunggang perlu membuka akaun di portal ujian teori itu menggunakan Singpass sekurang-kurangnya sehari sebelum ujian.
Penunggang perlu berusia 16 tahun keatas, iaitu usia minimum bagi penunggang PAB dan e-skuter.
Golongan dewasa yang mengawasi penunggang e-skuter di bawah 16 tahun juga perlu melalui ujian teori e-skuter.
"Mulai 1 Januari 2022, penunggang perlu menunjukkan sijil digital apabila diminta oleh pegawai penguat kuasa. Kami menggalakkan penunggang supaya mendaftar dan mendapatkan sijil tersebut secepat mungkin sebaik pendaftaran dibuka pada 30 Jun." - Kenyataan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

