Seorang penunggang motosikal lelaki berusia 25 tahun maut pada Rabu, selepas satu kemalangan dengan sebuah lori di Tuas.
Pemandu lori itu, lelaki berusia 46 tahun, ditahan kerana memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian.
Polis berkata ia dimaklumkan pada 7.45 pagi Rabu mengenai kemalangan itu, yang berlaku di simpang Tuas View Link dan Tuas View Walk 2.
Penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), lapor The Straits Times.
Satu video yang disiarkan di TikTok pada pagi Rabu menunjukkan lori itu berhenti di tengah simpang jalan raya, dengan ambulans SCDF berada di sebelahnya.
Di atas jalan di depan lori itu, kelihatan sehelai kain tarpaulin putih, berkemungkinan menutup mayat penunggang motosikal itu.
Dapat dilihat juga topi keledar motosikal dan kotak simpanan di sebelah kain itu.
Sekumpulan pekerja dilihat berdiri di tepi jalan berhampiran tempat kemalangan itu.
Polis berkata siasatan berhubung kemalangan itu sedang dijalankan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg