Seorang penunggang motosikal yang sedang dalam perjalanan ke Singapura rebah dan meninggal dunia di pusat pemeriksaan Johor.
Ketua Polis Daerah Selatan Johor Bahru, Encik Raub Selamat memberitahu media di Malaysia pada 5 April pihaknya menerima berita kematian orang lelaki itu sekitar 8.45 pagi pada hari yang sama.
Lelaki itu berada di lorong motosikal di pusat pemeriksaan tersebut dan sedang dalam proses mengimbas passport apabila beliau mengalami sesak nafas, lapor Asiaone.com.
Beliau lalu rebah dalam keadaan tidak sedarkan diri, lapor akhbar bahasa Cina di Malaysia, Sin Chew Daily.
Kakitangan perubatan dari Hospital Besar Johor Bahru mengesahkan kematian lelaki itu.
“Si mati dipercayai mengalami sesak nafas. Kes itu tidak membabitkan sebarang elemen jenayah dan sedang disiasat sebagai kematian mendadak,” kata ketua polis itu.
Lelaki yang meninggal dunia itu dipercayai bekerja di Singapura sebagai pekerja penghantaran dan ulang-alik dari Johor ke Singapura menerusi Tambak setiap hari.
Beliau meninggalkan seorang balu yang sedang hamil dua bulan dan anak lelaki berusia 10 bulan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg