Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenutupan sekolah, HBL dipertimbang jika paras PSI di tahap bahaya
Desmond Lee: Peperiksaan GCE peringkat ‘O’ dan ‘A’ diteruskan seperti dirancang
Penutupan sekolah, HBL dipertimbang jika paras PSI di tahap bahaya
Kementerian Pendidikan (MOE) akan mempertimbangkan langkah penutupan sekolah dan beralih ke sesi pembelajaran dari rumah (HBL) bagi murid peringkat prasekolah hingga sekolah menengah.
Ini sekiranya Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam berada di tahap bahaya iaitu melebihi paras 300, kata Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.
Encik Lee berkata demikian semasa sidang media Pasukan Bertindak Jerebu, yang diadakan di Pusat Akhbar Nasional, pada 16 Oktober.
Beliau berkata langkah sedia ada yang telah ditetapkan selaras dengan nasihat pakar kesihatan dan wajar bagi melindungi kemaslahatan pelajar, di samping memastikan pendidikan tidak terganggu.
Encik Lee berkata: “Pihak sekolah telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyesuaikan kegiatan, menempatkan alat pembersih udara, memberikan perhatian khusus kepada murid yang melaporkan mereka kurang sihat atau mempunyai masalah kesihatan sedia ada, serta mengambil langkah praktikal bagi mengurangkan pendedahan mereka kepada jerebu.
“Dalam melaksanakan pelan kesinambungan bagi sekolah, kami akan mengambil kira keadaan di lapangan serta kesannya terhadap pihak berkepentingan.”
Beliau menambah bahawa ibu bapa dan penjaga turut dinasihatkan supaya mengelakkan daripada mendedahkan bayi atau kanak-kanak kecil di luar apabila PSI mencapai paras bahaya.
Ini memandangkan golongan itu lebih terdedah kepada kesan kesihatan dek jerebu, ujarnya.
Program tadika dan khidmat campur tangan awal bagi kanak-kanak berkeperluan khas juga akan digantung dalam keadaan sedemikian, tambahnya.
Ia termasuk perkhidmatan Program Campur Tangan Awal bagi Bayi dan Kanak-kanak (EIPIC dan EIPIC-P), serta program campur tangan awal yang dijalankan di prasekolah, seperti Sokongan Pembangunan-Plus dan Sokongan Pembangunan-Sokongan Pembelajaran.
Beliau akur jika program sedemikian digantung, ia mungkin sukar bagi penjaga atau ibu bapa anak-anak untuk membuat aturan penjagaan alternaif.
Lantaran itu, Encik Lee berkata Tadika MOE dan Tadika Care serta prasekolah berlesen dengan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) akan kekal dibuka.
Kanak-kanak yang hadir ke pusat tadika atau prasekolah sedemikian akan dapat menyertai kegiatan yang dilakukan dalam ruang tertutup, seperti membaca dan aktiviti amali, dengan langkah berjaga-jaga diambil seperti penggunaan alat pembersih udara di dalam bilik tertutup, tambahnya.
Encik Lee turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa sekolah rendah dan sekolah menengah, pusat jagaan pelajar, serta pusat jagaan pelajar berkeperluan khas akan kekal dibuka bagi menampung mereka yang tidak mempunyai aturan penjagaan alternatif.
Pembelajaran fizikal di maktab rendah dan institut pengajian tinggi lain seperti politeknik dan universiti, kemungkinan besar diteruskan seperti biasa.
Ini memandangkan para pelajarnya lebih dewasa tetapi beberapa langkah penyesuaian mungkin dilakukan, bergantung pada keadaan sebenar, tambah beliau.
Menjawab pertanyaan berhubung bilakah sekolah rendah akan beralih kepada sesi HBL, Encik Lee menyatakan MOE akan mempertimbangkan langkah itu sekiranya ramalan PSI mencecah tahap berbahaya, walaupun keputusan itu “tidak terikat secara tegar kepada perangkaan semata-mata”.
Beliau menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat akan mengambil kira beberapa faktor antara lain termasuk usia murid dan keadaan kesihatan sedia ada golongan ini.
Sehubungan itu, beliau turut berkata peperiksaan kebangsaan diteruskan seperti yang dirancang, meskipun keadaan jerebu bertambah buruk.
Pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ dan ‘A’ akan diteruskan dalam ruang tertutup, berhawa dingin dan dengan alat pembersih udara, kata Encik Lee.