Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyanyi Nuradee sedar dari koma

Doktor sahkan Nur alami ketumbuhan dalam otak, mungkin hilang 50% ingatan
Sep 16, 2021 | 5:30 AM
KETUMBUHAN: Penyanyi Mohd Noor Abdullah, atau Nur, membuka mata sepenuhnya Isnin lalu dan boleh berkata-kata serta mengenali abangnya Abdul Rashid Abdullah, atau Adee. Terdapat ketumbuhan dalam otak Nur namun belum ada rancangan bagi pembedahan. - Foto NURADEE
KETUMBUHAN: Penyanyi Mohd Noor Abdullah, atau Nur, membuka mata sepenuhnya Isnin lalu dan boleh berkata-kata serta mengenali abangnya Abdul Rashid Abdullah, atau Adee. Terdapat ketumbuhan dalam otak Nur namun belum ada rancangan bagi pembedahan. - Foto NURADEE -

SELEPAS lebih sebulan dalam koma, penyanyi kumpulan Nuradee Mohd Noor Abdullah (Nur) akhirnya sedar dan boleh berkata-kata.

Abang yang juga pasangannya dalam kumpulan itu, Abdul Rashid Abdullah, yang lebih dikenali dengan panggilan Adee, berkata Nur membuka mata sepenuhnya Isnin lalu.

Menurut beliau, doktor mengesahkan terdapat ketumbuhan dalam otak Nur, 53 tahun, namun belum ada rancangan bagi pembedahan.

"Doktor sahkan ada tumor dalam otak. Sebelah tangan Nur cacat tak boleh bergerak dan memerlukan terapi. Kata doktor, memorinya mungkin hilang 50 peratus," kata Adee.

Menurut penyanyi itu lagi, Nur mengenalinya dan dapat mengingati detik-detik akhirnya sebelum jatuh pengsan.

"Tetapi banyak perkara dia tak ingat, dan dia asyik bertanya perkara sama berulang-ulang hingga penat juga saya terangkan berulang kali.

"Selain itu, tak banyak yang dibualkan dan dia lebih banyak berdiam," ujar Adee.

Antara permintaan awal adiknya itu ialah mahu segera pulang ke rumah.

"Dia minta discharge. Doktor izinkan, tetapi sebenarnya berat untuk benarkan keluar sebab dah lama dirawat di hospital," kata Adee.

Walaupun sedih mengenai apa yang berlaku, Adee berkata beliau reda dan berserah.

Selain menyanyi, Nur pemain gitar utama kumpulan pasangan adik-beradik itu. Beliau mempunyai dua anak yang sedang belajar di pusat pengajian tinggi.

Berita Harian sebelum ini melaporkan Nur rebah tiba-tiba selepas makan malam di rumah mereka di Gelang Patah, Johor Bahru, awal bulan lalu.

Sudah hampir dua tahun adik-beradik itu tidak pulang ke Singapura kerana menguruskan kerja mereka di Malaysia.

Pada mulanya Nur dimasukkan ke hospital swasta Gleneagles Hospital Medini Johor dan dirawat di unit jagaan rapi (ICU) dua minggu.

Menurut Adee, memandangkan bil hospital agak tinggi beliau memutuskan membawa adiknya pulang ke Singapura dan mendapatkan rawatan seterusnya di Hospital Besar Sengkang.

Tahun lalu Nur disahkan menghidap kencing manis tetapi keadaan penyakitnya itu terkawal, tambahnya.

Pada awal 2019, beliau hampir kehilangan kaki kirinya setelah diserang kuman bangkai ikan, yang menyebabkan kakinya menghitam dan membusuk selepas beberapa hari terjatuh ke dalam longkang di sebuah pasar di Johor Bahru.

Kaki itu dapat diselamatkan apabila doktor mengambil keputusan membuang bahagian daging yang terjejas tanpa memotong tulang kaki. Nur dapat bekerja seperti biasa selepas pembedahan itu.

Satu usaha mengumpul dana untuk membiayai rawatan Nur di hospital di Johor dan Singapura sedang dijalankan. Maklumat lanjut mengenai usaha ini terdapat di Facebook Nuradee.

"Doktor sahkan ada tumor dalam otak. Sebelah tangan Nur cacat tak boleh bergerak dan memerlukan terapi. Kata doktor, memorinya mungkin hilang 50 peratus... banyak perkara dia tak ingat, dan dia asyik bertanya perkara sama berulang-ulang..." - Abdul Rashid Abdullah, atau Adee, abang penyanyi Nuradee Nur.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg