PENJANA kandungan yang memuatnaikkan bahan lucah pada platform dalam talian OnlyFans boleh dianggap melanggar undang-undang di sini meskipun mereka berpangkalan di luar negara.

Sesiapa yang memuatturunkan video dan foto lucah serta berkongsi bahan ini juga berisiko ditangkap.

"Meskipun Kanun Keseksaan secara umum tidak mempunyai jangkauan kuasa di luar kawasan, seorang warga Singapura atau orang asing yang memuatnaikkan bahan luar negara dan selanjutnya memasuki Singapura boleh berpotensi ditangani undang-undang di sini," jelas Profesor Madya Eugene Tan, yang mengajar di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Isu OnlyFans ini mula dibincangkan apabila model Titus Low dituduh pada 30 Disember kerana memuatnaikkan gambar dan video lucah ke dalam akaun OnlyFans-nya antara April dengan Oktober tahun lalu.

Dia juga didakwa gagal mematuhi perintah yang dikenakan padanya sekitar Oktober tahun lalu yang menghalangnya daripada menggunakan akaun OnlyFans itu.

Low yang diberi ikat jamin $5,000 akan kembali ke mahkamah pada 20 Januari dan dipercayai adalah penjana kandungan pertama platform itu di Singapura yang didakwa bersalah memuatnaikkan bahan lucah dalam laman tersebut.

Peguam yang dihubungi akhbar The Straits Times berkata penjana kandungan yang memuatnaikkan bahan lucah bukan sahaja golongan yang berisiko melanggar undang-undang tetapi pelanggan yang memuatturunkan bahan sebegitu dan menyebar bahan tersebut juga boleh diheret ke mahkamah.

"Tidak kiralah jika pelanggan itu ingin meraih keuntungan kewangan daripadanya," tambah Profesor Tan.

Cik Tania Chin daripada pasukan litigasi jenayah di firma guaman Withers KhattarWong berkata, menyebar bahan lucah secara elektronik di Singapura dan mengedar atau memilikinya untuk mengedarnya dengan pihak ketiga adalah satu kesalahan.

OnlyFans dibangunkan pada 2016 dan berpangkalan di London. Ia membolehkan penjana kandungan untuk memuatnaikkan gambar mengenai subjek seperti pelancongan, fesyen, kecergasan dan bimbingan khusus.

Namun, beberapa penjana kandungan dilaporkan telah memuatnaikkan gambar dan video lucah pada laman ini untuk buat duit dengan menjual akses langganan.

Laman ini mengenakan yuran langganan bulanan antara AS4.99 ($7) dengan AS$49.99 tetapi penjana kandungan ini boleh mengenakan pelanggan bayaran tambahan bagi kerja komisen yang dikirimkan menerusi pesanan privet.

Sebagai hos bahan, OnlyFans mengambil 20 peratus daripada semua bayaran ini.

Penjana kandungan mendakwa dalam talian bahawa secara purata, mereka boleh meraih pendapatan AS$150 sebulan dengan penjana kandungan handalan meraih AS$100,000 setiap bulan.

Berdasarkan pencarian dalam talian, terdapat lebih 170 juta pelanggan berdaftar Only Fans dan lebih 1.5 juta penjana kandungan sejagat. Pengguna mestilah berusia 18 tahun ke atas, mengikut dasar OnlyFans.

Sebagai laman yang tidak dikawal, terdapat risiko foto dan video lucah dimuatnaikkan tanpa keizinan subjek yang terlibat, jelas beberapa peguam.

Kata Cik Chin: "Platform dalam talian seperti OnlyFans mungkin tidak memantau kandungan eksplisit yang mungkin datang daripada pengguna bawah umur.

"Adalah satu kesalahan untuk meraih keuntungan daripada penjualan bahan lucah sebegini. Justeru, jika akses berdasarkan model langganan tetapi seseorang mendapat pulangan wang daripada posnya atau menjual bahan sebegini, ia dianggap satu kesalahan."

Walaupun platform ini awal sebelum ini mengumumkan ia merancang mengharamkan kandungan eksplisit berbaur seksual, ia mengubah keputusannya pada Ogos lalu.

Peguam IRB Law, Encik Azri Imran Tan, yang khusus menangani kes guaman jenayah, berkata adalah dalam bidang kuasa pihak berkuasa di sini untuk mengharamkan laman tersebut.

Namun, beliau menambah ini akan membawa pada ketegangan antara kebebasan ekspresi dan keperluan melindungi akhlak awam.

Encik Azri berkata sesetengah pihak mungkin menegaskan bahawa OnlyFans hanyalah satu cara meluah rasa dan harus dianggap kemungkinan sebagai satu kesenian tetapi beliau pula menekankan bahawa Singapura kekal sebagai masyarakat konservatif.

"Saya dapat membayangkan mungkin terdapat sangkalan warganet yang mungkin menganggap sebarang pengharaman pada OnlyFans merupakan satu cara pengawasan moral," tambahnya.

Pakar undang-undang perlembagaan dan pentadbiran, Profesor Tan, berkata dalam bidang kuasa negara seperti Britain dan Amerika Syarikat, penghasilan dan memuatnaikkan bahan lucah tidak menyalahi undang-undang.

Perbuatan ini dikaitkan dengan kebebasan bersuara dan keprihatinan ekspresi, tambah Profesor Tan.

"Singapura mengambil pandangan bertentangan yang hampir diametrik. Kebebasan bersuara dan ekspresi tidak diperluaskan pada sekatan yang Parlimen anggap 'perlu atau mustahak' bagi kepentingan perintah awam atau moraliti," jelas Profesor Tan lagi.

Selebriti khususnya mereka dengan lautan pengikut di Instagram meraih jutaan dolar setiap bulan kerana memuatnaikkan foto pada OnlyFans.

Model Amerika, Angela Renée White, yang menggunakan nama pentas Blac Chyna, meraih pendapatan AS$20 million (S$27.2 million) sebulan menerusi laman ini, lapor South China Morning Post (SCMP) pada September tahun lalu.

Wanita 33 tahun itu mempunyai 16 juta pengikut Instagram, sering muatnaikkan gambar dan video pada laman itu dengan pelanggan membayar AS$19.99 sebulan untuk menatapnya.

White menyertai OnlyFans pada April 2020 dan pada bulan yang sama memuatnaikkan video dirinya menghentak kaki pada semangkuk anggur di Instagram. Beliau menyarankan peminatnya membayar untuk melihat lebih banyak kandungan di laman OnlyFans.

Bekas bintang Disney, Bella Thorne, pula meraih AS$11 juta sebulan di OnlyFans, lapor SCMP.

Pelakon berusia 24 tahun itu dikatakan meraih lebih AS$1 juta dalam tempoh 24 jam setelah menyertai platform itu pada Ogos 2020.

Seorang lagi selebriti dengan pulangan tertinggi adalah artis rap Cardi B yang meraih sekitar AS$9.4 juta sebulan hanya menerusi OnlyFans.

Majalah Rolling Stone melaporkan Cardi B menggunakan platform itu untuk mengeluarkan adegan balik tabir video muziknya.

The Sun US, satu penerbitan berita di Amerika Syarikat, melaporkan bahawa bintang 29 tahun itu mengenakan bayaran AS$4.99 sebulan buat pengikutnya melanggani akaunnya dan merupakan bintang OnlyFans dengan pendapatan ketiga paling tinggi di laman tersebut meskipun hanya memuatnaikkan kandungan sebanyak enam kali sejauh ini.