SYARIKAT penyedia perkhidmatan perkahwinan setempat kini bersiap sedia untuk mengadakan majlis lebih besar sedang kelonggaran diberikan untuk membenarkan hingga 100 orang menghadiri majlis tersebut mulai 3 Oktober.

Sejak langkah tersebut diumumkan kelmarin, syarikat-syarikat itu menerima panggilan dan pertanyaan daripada bakal mempelai yang berminat untuk meningkatkan bilangan tetamu mereka.

Hingga tengah hari semalam, pemilik Iza Wedding & Catering, Cik Juniliza Sabri, sudah mempunyai lima acara yang sudah 'dinaik taraf' kepada pakej 100 orang, dan menjangkakan lebih banyak akan menyusul.

"Kami gembira dan bersyukur ada perubahan ini. Walaupun kenaikannya tak banyak tetapi bagi kami sekurang-kurangnya ada pendapatan lebih, dan kami boleh bernafas sikit," kata Cik Juniliza.

Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) kelmarin mengumumkan beberapa kelonggaran bagi kegiatan di Singapura, sedang bilangan kes Covid-19 dalam masyarakat kekal rendah.

Antaranya, sehingga 100 tetamu jemputan - termasuk pasangan mempelai tetapi tidak termasuk kadi dan penyedia khidmat majlis - akan dibenarkan menghadiri jamuan perkahwinan, naik daripada had 50 orang sekarang.

Pemilik Charisma Bridal and Catering, Cik Salwah Baharudin, juga mengalu-alukan langkah tersebut.

"Keluar sahaja berita itu, telefon bimbit saya macam nak pecah. Ada yang call, ada yang WhatsApp. Ada sekitar 20 hingga 30 orang yang nak tambah bilangan tetamu. Sudah tentunya langkah ini sudah lama dinantikan," kata Cik Salwah, yang telah melobi bagi kelonggaran sekatan itu dengan bertemu beberapa menteri sejak beberapa bulan lalu.

Beliau yang mewakili sekitar 20 firma penyedia majlis perkahwinan juga telah bekerjasama dengan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) bagi mengusulkan kelonggaran itu kepada pemerintah.

Bahkan, cabaran dihadapi firma-firma itu turut diutarakan dalam satu sesi dialog anjuran Berita Harian (BH) bersama Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Chan Chun Sing, dan Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, Jumaat lalu.

Presiden DPPMS, Encik Farid Khan, berkata pihaknya berbesar hati dengan kelonggaran tersebut.

"Sejak permulaan Fasa Satu (pembukaan Singapura), Dewan telah meluangkan banyak masa dengan pihak berkepentingan seperti pemilik perniagaan dan agensi awam," ujar Encik Farid.

DPPMS telah mengemukakan beberapa saranan langkah selamat kepada Enterprise Singapore (ESG) untuk mengadakan majlis perkahwinan lebih besar, termasuk melantik pegawai pengurusan selamat, serta mengehadkan bilangan tetamu dalam zon tertentu.

Ia menggariskan antara lain bahawa penganjur acara perlu melantik pegawai pengurusan selamat itu dan disokong beberapa kakitangan bagi memastikan langkah keselamatan dipatuhi.

Setiap kumpulan tetamu yang datang harus masuk dan keluar dari majlis tanpa berinteraksi dengan kumpulan lain.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata bilangan tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan boleh dibahagikan kepada beberapa zon, dengan setiap zon hanya boleh mengisi hingga 50 orang, atau dibahagi kepada waktu yang berbeza dengan hingga 50 orang setiap slot.

Pengasas bersama Muslim Delights, Cik Hafidah Daud, berkata restorannya bersedia melaksanakan pelbagai zon memandangkan ada ruang mencukupi di restorannya.

"Kami boleh letakkan sempadan untuk pastikan tetamu dalam zon berbeza tidak bergaul, dan kami pun boleh tugaskan kakitangan untuk memastikan ia tidak berlaku," kata Cik Hafidah.

Bersependapat, pemilik Irmaya Wedding Gallery, Cik Nurmaya Mohd Salleh, melahirkan harapan agar had 100 tetamu bagi majlis perkahwinan boleh ditingkatkan.

Mulai November ini, satu skim rintis juga akan dilancarkan bagi membolehkan majlis perkahwinan yang dianjurkan oleh penyedia khidmat berdaftar, diadakan di kolong blok atau dewan serbaguna Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Butiran lanjut akan diumumkan MOH di masa terdekat.

Laporan lanjut:

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti