ANTARA 2018 dengan 2022, Pihak Pertama Bertindak dalam Masyarakat (CFR) telah menangani 7,670 kes melalui aplikasi myResponder.
Daripada 7,670 kes itu, 4,525 kes melibatkan serangan jantung dan 3,145 kes melibatkan kebakaran kecil.
Demikian kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang, Encik K Shanmugam, dalam jawapan bertulisnya kepada soalan yang diajukan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang).
Aplikasi myResponder membolehkan orang ramai mendaftar sebagai CFR dan memaklumkan mereka tentang kes serangan jantung atau kebakaran kecil, dalam jarak 400 meter dari lokasi mereka.
Ini membolehkan kes-kes sedemikian ditangani dengan cepat oleh CFR, sekali gus meningkatkan kadar kelangsungan hidup dalam kes serangan jantung serta membolehkan kebakaran kecil dipadamkan dalam beberapa minit kritikal pertama.
Aplikasi tersebut juga mempunyai widget hubungan kecemasan 995 yang membolehkan pengguna menghubungi Pusat Operasi Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
SCDF tidak membezakan sama ada panggilan dibuat daripada aplikasi itu atau melalui talian kecemasan 995 biasa.
Encik Shanmugam berkata untuk meningkatkan bilangan pengguna myResponder dan CFR, SCDF memanfaatkan pelbagai nadi masyarakat.
Ini termasuk acara seperti Rumah Terbuka Balai Bomba dan Hari Ketahanan Masyarakat yang dianjurkan oleh SCDF, program di bawah pergerakan SGSecure, serta acara yang dianjurkan bersama dengan Jawatankuasa Kecemasan dan Penglibatan Masyarakat di kawasan perumahan.
Di acara-acara sedemikian, orang awam boleh mempelajari kemahiran seperti melakukan Bantuan Pernafasan Kecemasan (CPR) dan penggunaan Defibrilator Luaran Automatik (AED), pemadaman api dan pertolongan kecemasan.
SCDF akan menggalakkan peserta dalam acara dan program ini untuk memuat turun aplikasi myResponder dan mendaftar sebagai CFR, kata Encik Shanmugam.
Sementara itu, untuk terus membina keupayaan bagi respons kecemasan orang ramai, SCDF telah bekerjasama dengan rakan kongsi untuk meningkatkan ketersediaan AED dan alat pemadam api dalam masyarakat.
Menjelang akhir 2025, sasaran SCDF adalah untuk memastikan terdapat satu AED dalam jangkauan 250 meter di kawasan bandar.
Bagi alat pemadam api, dalam tempoh lima tahun akan datang, SCDF akan bekerjasama dengan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Majlis Perbandaran dan Yayasan Temasek untuk memasang satu alat pemadam api di lobi lif bagi setiap dua blok HDB.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg