PENYELESAIAN telah dicapai antara Kesatuan Pekerja Keselamatan (USE) dan firma APRO Asian Protection Pte Ltd (Apro) bagi pihak pegawai keselamatan yang diberi pangkat lebih rendah.
Ini berikutan penstrukturan semula gaji dan pangkat Apro yang berlangsung pada 1 Disember 2022.
Dalam satu kenyataan bersama oleh USE dan Apro pada Rabu, terma penyelesaian yang dicapai "adalah rundingan perdamaian yang membuahkan hasil", yang mana ia mengambil kira pegawai yang terjejas dan operasi perniagaan Apro.
Terma-terma tersebut, yang dirahsiakan, adalah tambahan kepada $2 juta tambahan gaji tahunan tidak wajib sebelum ini yang Apro agihkan kepada semua pegawainya pada Disember 2022.
Setiausaha Eksekutif USE, Encik Steve Tan, berkata pihaknya teruja yang usaha perdamaian melalui Kementerian Tenaga Manusia (MOM) telah mendorong hasil yang positif.
"Kami memahami tujuan Apro untuk membina saiz tenaga kerja yang sesuai dan dan mengiktiraf usaha pihak pengurusan untuk berbuat demikian secara adil," tambah beliau.
Beliau juga menambah USE akan bekerja rapat dengan Apro untuk "menangani kebimbangan pelanggan" dan pihak berkepentingan lain yang ada ekoran laporan media baru-baru ini.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, menerusi catatan Facebook beliau, berkata:
"Saya gembira untuk mengetahui bahawa USE dan syarikat tersebut, dengan perdamaian daripada MOM, telah mencapai penyelesaian. USE telah mencapai hasil yang positif untuk pegawai yang terjejas."
Beliau menambah USE akan terus bekerja rapat dengan syarikat tersebut bagi memastikan kemaslahatan pegawainya terjaga dan "mewujudkan semula hubungan antara pihak pengurusan dan pihak buruh yang positif dengan syarikat."
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Urusan APRO, Encik Li Xiaowen, menjelaskan bahawa Apro kini akan memberi tumpuan bagi pastikan semua pegawai "memahami dengan jelas sebab penyesuaian baru-baru ini diperlukan".
Ia juga sedang bekerjasama dengan pegawai-pegawai untuk menangani kebimbangan mereka.
"Kami juga akan terus bekerjasama rapat dengan USE menerusi dialog berterusan dan saluran komunikasi yang lebih baik, untuk memastikan kami mendapat perspektif yang lebih luas bagi mencapai hasil yang lebih baik untuk pekerja kami," tambah Encik Li.
"Saya gembira untuk mengetahui bahawa USE dan syarikat tersebut, dengan usaha perdamaian daripada MOM, telah mencapai penyelesaian. USE telah mencapai hasil yang positif untuk pegawai yang terjejas."
- Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, menerusi catatan Facebook beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg