Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenyelidik SMU teroka cara lebih baik ukur haba bandar
Penyelidik SMU teroka cara lebih baik ukur haba bandar
Aplikasi telefon bimbit tidak tunjuk ukuran tepat; haba keluar bergantung struktur bandar seperti jalan raya dan bangunan
Penyelidik SMU teroka cara lebih baik ukur haba bandar
APLIKASI di telefon bijak mungkin menunjukkan ukuran suhu sekadar 32 darjah Celsius.
Namun, bahangnya terasa seakan lebih tinggi daripada itu.
Sebenarnya, suhu di sebahagian tempat di kawasan bandar, yang berdekatan dengan struktur bandar, mungkin lebih tinggi - sehingga 70 darjah Celsius - sementara di beberapa kawasan teduh, seperti di bawah pokok, suhunya boleh mencapai serendah 26 darjah Celsius.
Buat masa ini, sekumpulan penyelidik dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) sedang berusaha meneroka sebab-sebab beberapa kawasan di bandar lebih dingin dan lebih selesa dan bagaimana lebih banyak tempat sedemikian boleh diwujudkan.
Mereka sebahagian daripada daya usaha penyelidikan seluruh negara diberi nama Cooling Singapore, yang sedang meneroka bagaimana cabaran haba di kawasan bandar boleh ditangani.
Profesor Madya Winston Chow, dari SMU, yang juga penyelidik utama Cooling Singapore, berkata:
"Kita telah melihat bagaimana keselesaan terma luar di Singapura boleh berubah secara drastik dari satu tempat ke tempat lain walaupun dua kawasan itu dipisahkan dengan jarak beberapa meter sahaja, yang disebabkan tempat teduh atau kelajuan angin yang berubah.
"Dan kami harus menentukan bagaimana model iklim boleh menyerupai perubahan yang berlaku ini."
Keselesaan terma merujuk kepada rasa dingin atau panas yang dialami seseorang dalam persekitarannya.
Data suhu yang disediakan dalam banyak aplikasi cuaca di telefon bijak biasanya merujuk kepada suhu udara.
Namun, data itu sahaja tidak boleh memberikan ukuran tepat haba atau bahang yang dirasakan disesuatu tempat ekoran permukaan dan struktur di landskap bandar - yang terdedah kepada bahang matahari sehari suntuk - juga adalah sumber haba, kata Dr Peter Crank seorang zamil penyelidikan pasca kedoktoran di SMU yang terlibat dalam projek tersebut.
Sejauh mana struktur bandar seperti jalan raya atau bangunan mengeluarkan haba bergantung kepada pelbagai faktor, seperti bahannya, warna atau keupayaannya memantul haba.
Adanya pokok atau ruang berumput juga boleh menjejas kesan haba yang dirasakan seseorang.
Sebagai contoh, dalam satu eksperimen dengan berjalan kaki di sekeliling kampus SMU pada 1 Julai, antara 4 dengan 5 petang, penyelidik mendapati suhu udara berubah-ubah antara 29 darjah Celsius dengan 32 darjah Celsius.
Namun, suhu purata sinaran (mean radiant temperature) - ukuran lebih baik bagaimana manusia merasai bahang - di kawasan yang sama adalah antara 26 darjah Celsius dengan 70 darjah Celsius.
Suhu purata 26 darjah Celsius dirakamkan di kawasan diteduhi pokok atau tempat pejalan kaki berbumbung.
Dr Crank berkata suhu lebih tinggi dirakamkan di jalan raya dan padang rumput tiruan yang kelihatan seperti rumput, tetapi sebenarnya dedaun plastik berlantai getah.
"Data sebegini boleh memberikan perancang dan pembangun bandar dengan idea lebih baik untuk memilih bahan atau struktur yang harus dielak atau dikurangkan untuk mempertingkat keselesaan terma," tambahnya.
Suhu purata sinaran dihitung berdasarkan ukuran radiasi suria atau haba dari matahari, dan haba inframerah.
Haba sebegini biasanya dikeluarkan ke persekitaran oleh struktur bandar.
Para penyelidik mengumpulkan ukuran itu dengan menggunakan 'Smarty' - nama gelaran bagi kereta sorong meteorologi mudah alih yang diberi pasukan itu.
'Smarty' yang dilengkapi alat pengesan dibawa mengelilingi kampus SMU untuk mengumpul data yang diperlukan bagi menghitung suhu purata sinaran.
Usaha mengumpulkan data di keliling SMU bermula sejak Mac lalu dan penyelidik kini mempunyai rancangan untuk turut membawa 'Smarty' ke Taman Bishan-Ang Mo Kio menjelang hujung tahun.
Menurut Profesor Chow, lokasi yang dipilih bagi penyelidikan itu sepadan dengan pelbagai jenis landskap bandar Singapura.
Ia termasuk gabungan bangunan pencakar langit dan rendah, dengan yang dikelilingi pepohon jalanan di pusat bandar utama, ke kawasan taman besar bersebelahan perumahan awam dan privet yang padat di Bishan-Ang Mo Kio.
Terdapat juga gabungan tempat teduh yang berbeza-beza sepanjang jalan bagi kajian tersebut.
Ini termasuk daripada pokok-pokok ke tempat pejalan kaki berbumbung, yang menggambarkan laluan umum bagi warga Singapura.
Perubahan iklim sedang menyebabkan suhu dunia meningkat, tetapi Singapura sedang mengalami suhu lebih tinggi daripada purata dunia ekoran fenomena struktur bandar yang menjerat haba.
Suhu setempat adalah 1.8 darjah Celsius lebih tinggi daripada yang dirakamkan pada 1948, berdasarkan data yang diperoleh dari Khidmat Kaji Cuaca Singapura, yang dikendalikan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Sebaliknya, suhu dunia telah meningkat sekitar 1.1 darjah Celsius berbanding suhu dunia sebelum era praperindustrian.
Jurucakap Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), yang menyediakan pendanaan kepada Cooling Singapore berkata kajian keselesaan terma luar di peringkat kejiranan memerlukan data dikumpulkan di peringkat sedemikian.
"Rangkaian ukuran biasanya tidak mengambil kira perubahan kecil dalam iklim mikro atau menyediakan gambaran yang boleh menunjukkan bagaimana bahan dirasai orang.
"Kereta sorong Smarty memberikan ukuran dinamik dalam sekitaran bandar," kata beliau.
