Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyewa mahu kembali ke TKC selepas ia dinaik taraf

Dec 11, 2021 | 5:30 AM
MAHU WARISAN KEMELAYUAN DIKEKALKAN: Pemilik Butik ByHarmoni, Cik Siti Aisyah, berminat kembali ke TKC jika pusat beli-belah itu mengekalkan ciri-ciri dagangan Melayunya dan tidak menjadi seperti pusat beli-belah umum lain. - Foto ihsan SITI AISYAH AHMAD
MAHU WARISAN KEMELAYUAN DIKEKALKAN: Pemilik Butik ByHarmoni, Cik Siti Aisyah, berminat kembali ke TKC jika pusat beli-belah itu mengekalkan ciri-ciri dagangan Melayunya dan tidak menjadi seperti pusat beli-belah umum lain. - Foto ihsan SITI AISYAH AHMAD -

BEBERAPA penyewa Tanjong Katong Complex (TKC) berminat kembali ke pusat beli-belah itu setelah bangunan berusia 37 tahun itu habis menjalani kerja naik taraf, meskipun mereka sedar kadar sewanya akan meningkat.

Ini kerana lokasinya yang strategik, yang berdekatan Stesen MRT Paya Lebar, dan di Geylang Serai, yang menjadi tumpuan masyarakat Melayu/Islam.

Kerja naik taraf itu, yang akan bermula pada Ogos 2023, bertujuan memberi kesegaran dan merancakkan tempat itu dan dijangka selesai pada Julai 2026.

Tempoh sewa para penyewa itu akan berakhir menjelang 30 Jun 2023 dan mereka perlu mencari lokasi baru bagi meneruskan perniagaan mereka.

Beberapa penyewa, seperti pemilik butik Anisah Collection, Cik Fatimah Yahya, 70 tahun, berharap Penguasa Tanah Singapura (SLA), yang memantau TKC sebagai pusat beli-belah milik pemerintah, memberi keutamaan kepada penyewa sedia ada untuk menyewa di TKC 'baru'.

"Sebaik-baiknya kami ingin diberi keutamaan kerana kami sudah lama berniaga di sini. Lokasi TKC amat bagus kerana terletak berdekatan MRT dan ia menjadi tempat tumpuan masyarakat Melayu,'' ujar Cik Fatimah, yang sudah berniaga di KTC lebih 20 tahun.

Semasa kerja naik taraf itu, beliau merancang berehat atau menjalankan perniagaannya dalam talian.

Pemilik butik Elmaya, Encik Samsu Mabi, 77 tahun, yang sudah berniaga di KTC selama 30 tahun, dan pemilik Sultanah Bridal & Boutique, Cik Sultanah Hussien, 64 tahun, yang sudah berniaga di situ selama 20 tahun, melahirkan harapan sama.

"Kami faham tentunya selepas kerja naik taraf, kadar sewa akan meningkat. Tetapi, harapan kami ialah SLA memberi kami keutamaan kepada penyewa yang ada sekarang kerana kami sudah lama berniaga di sini,'' kata Encik Samsu.

Pemilik Butik ByHarmoni, Cik Siti Aisyah Ahmad, 28 tahun, berkata sama ada beliau kembali ke TKC bergantung pada gabungan penyewanya dan kadar sewa ditawarkan.

"Kalau TKC menjadi seperti pusat beli-belah umum lain, seperti pusat beli-belah berdekatan, seperti Kinex dan PLQ Mall, saya tidak berminat.

"Saya meminati TKC kerana warisan Melayunya. Selain itu, saya perlu pertimbangkan kadar sewanya,'' kata Cik Aisyah, yang mempunyai sebuah lagi kedai di Bussorah Street.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg