Rakyat Singapura boleh mendapat manfaat daripada usaha peralihan tenaga negara ini melalui pelaburan pemerintah dalam teknologi baharu, seperti tenaga bersih.

Ini kerana usaha sedemikian berpotensi menarik lebih banyak pelaburan ke negara ini serta mewujudkan peluang pekerjaan baru, kata Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan), Dr Tan See Leng.

Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai satu “kitaran positif yang berterusan” apabila pelaburan dalam sektor tenaga turut mendorong pembangunan tenaga kerja tempatan.

Dr Tan berkata demikian sebagai menjawab soalan Berita Harian (BH) tentang bagaimana Singapura akan mempersiapkan perniagaan dan pekerja tempatan untuk merebut peluang yang muncul daripada usaha negara mencapai kemampanan dan keselamatan tenaga.

Dalam wawancara bersama media di The Treasury pada 13 November, beliau menjelaskan bahawa portfolio tenaga dan industri diletakkan di bawah satu kementerian kerana kedua-duanya saling berkait rapat.

“Tenaga membolehkan pelaburan berlaku, manakala pelaburan pula menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja kita,” katanya.

Menurutnya, usaha mendapatkan pelaburan bagi sektor tenaga bukan sahaja penting untuk memastikan bekalan kuasa yang boleh dipercayai.

Malah, ia membuka ruang untuk membangunkan kemahiran dan kepakaran rakyat Singapura dalam bidang teknologi baharu.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Menurutnya, perkembangan teknologi tenaga baharu menawarkan peluang besar untuk melahirkan generasi jurutera tempatan berkemahiran tinggi, termasuk dalam bidang kejuruteraan elektrik, nuklear dan kemampanan.

“Seluruh ekosistem ini akan memberi limpahan manfaat kepada penduduk secara lebih meluas, dan saya fikir ini satu peluang yang amat besar untuk kita,” katanya.

Dr Tan turut berkata syarikat yang melabur di Singapura memahami keperluan untuk terus melatih, meningkatkan kemahiran serta melabur dalam pembangunan tenaga kerja tempatan.

Beliau menambah bahawa usaha memperkukuh ekonomi melalui bekalan tenaga yang stabil dapat menarik lebih banyak pelaburan, yang kemudian menyokong latihan dan peningkatan kemahiran pekerja.

Pada masa yang sama, perniagaan tempatan boleh memanfaatkan geran pemerintah seperti Geran Kecekapan Tenaga (EEG) dan Geran Kecekapan Sumber (REG) bagi membantu meningkatkan kecekapan operasi mereka.

Geran tersebut ujar beliau merupakan antara langkah untuk menggalakkan perniagaan tempatan menjadi lebih cekap dalam penggunaan tenaga dan sumber.