Topic followed successfully
Go to BHkuPeranan hakam bolehkan hubungan keluarga dikekal
Peranan hakam bolehkan hubungan keluarga dikekal
Mahkamah Syariah baru-baru ini memperkenalkan angka kerja latihan dan penilaian untuk menyokong hakam dalam menjalankan peranan mereka. BERITA HARIAN mendapatkan pandangan pihak berkepentingan mengenai rangka kerja baru itu.
Peranan hakam bolehkan hubungan keluarga dikekal
PERANAN hakam adalah untuk meneroka kemungkinan perdamaian antara pihak-pihak yang mahu bercerai dan di mana mungkin, menggalakkan mereka berbaik semula.
Sekiranya perdamaian tidak dapat dicapai, peranan hakam adalah untuk memudahkan perceraian secara baik, kata presiden kanan Mahkamah Syariah, Cik Guy Ghazali.
"Kepentingan perceraian secara baik tidak boleh diperkecilkan.
"Ia boleh membuka jalan kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan isu lain seperti hal anak.
"Di mana tahap kebencian adalah rendah, kedua-dua pihak lebih berkemungkinan meneruskan kehidupan mereka selepas bercerai dengan harmoni," ujar beliau.
Jika perceraian melibatkan anak-anak, proses hakam membolehkan hubungan kekeluargaan dikekalkan meskipun perkahwinan terlerai, dan ini memungkinkan ibu dan ayah terus memainkan peranan efektif sebagai orang tua anak-anak tersebut.
"Adalah penting untuk suami isteri meleraikan konflik dalam proses perceraian demi kebajikan dan kesejahteraan mental serta emosi anak-anak.
"Apatah lagi kedua-dua belah pihak akan terus memainkan peranan penting dalam kehidupan anak-anak sebagai ibu bapa dan mereka harus bekerjasama dalam hal ini.
"Peranan hakam memastikan kebajikan anak-anak tidak terjejas dan dapat terus terpelihara supaya anak-anak dapat membesar dengan kasih sayang walaupun kedua ibu bapa sudah berpisah," katanya.
Cik Guy berkata demikian pada 10 Mac lalu semasa majlis pemilihan hakam.
Seramai 18 hakam - 11 merupakan hakam sedia ada - telah dipilih dan mereka akan memulakan tugas mereka secara rasmi pada 1 April 2023.
Hakam merupakan asatizah yang dilantik Mahkamah Syariah di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) 1966 untuk menyelesaikan pertikaian perkahwinan antara pihak yang mahu bercerai.
Mereka memainkan peranan penting dalam proses perceraian di Mahkamah Syariah, kata Cik Guy.
Apabila isu perceraian dipertikaikan, misalnya, jika isteri memohon cerai tetapi suami tidak mahu menceraikannya, Mahkamah Syariah boleh melantik dua hakam - satu bagi setiap pihak - untuk menyelesaikan pertikaian rumahtangga itu.
Hakam juga boleh dilantik dalam situasi di mana suami membuat permohonan untuk bercerai tetapi kemudian mengubah fikirannya, jelas Cik Guy.
"Tujuan utama adalah supaya suami isteri dapat berbaik semula.
"Namun begitu, sekiranya mereka tidak dapat disatukan lagi dan perpisahan adalah jalan yang terbaik, hakam akan menyelesaikan pertelingkahan mereka dengan cara yang aman.
"Dengan bantuan hakam, walaupun suami dan isteri berpisah, ia dilakukan secara ihsan seperti yang dianjurkan dalam Islam," katanya.
"Adalah penting untuk suami isteri meleraikan konflik dalam proses perceraian demi kebajikan dan kesejahteraan mental serta emosi anak-anak. Apatah lagi kedua-dua belah pihak akan terus memainkan peranan penting dalam kehidupan anak-anak sebagai ibu bapa dan mereka harus bekerjasama dalam hal ini. Peranan hakam memastikan kebajikan anak-anak tidak terjejas dan dapat terus terpelihara supaya anak-anak dapat membesar dengan kasih sayang walaupun kedua ibu bapa sudah berpisah." - Presiden kanan Mahkamah Syariah, Cik Guy Ghazali.
Nota: Artikel ini telah disunting bagi ketepatan.

