Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeranan ibu bapa asuh anak hormati guru, patuhi peraturan sekolah
Peranan ibu bapa asuh anak hormati guru, patuhi peraturan sekolah
Peranan ibu bapa asuh anak hormati guru, patuhi peraturan sekolah
IBU bapa berperanan memupuk dalam diri anak-anak rasa hormat terhadap guru, serta mengingatkan mereka agar mematuhi peraturan sekolah yang ditetapkan dan bahawa mereka boleh dikenakan tindakan disiplin jika didapati melanggarnya.
Demikian pandangan beberapa ibu bapa yang dihubungi Berita Harian (BH) berikutan kejadian di Sekolah Menengah St Andrew's di mana satu video tular minggu lalu menunjukkan seorang pelajar berkelakuan tidak sopan terhadap seorang kakitangan sekolah.
Ibu lima anak, Cik Azizah Mahmood, berkata beliau mengajar anak-anaknya daripada kecil agar menghormati semua orang termasuk guru, dan memupuk dalam diri mereka bahawa pendidik memainkan peranan dalam pembentukan masa depan mereka.
"Saya beritahu mereka walaupun mereka tidak setuju dengan perkara tertentu yang guru mereka katakan, mereka boleh meluahkan pandangan mereka tetapi dalam cara yang betul.
"Dan anak-anak saya tahu jika mereka terima sebarang aduan daripada guru tentang kelakuan mereka di sekolah, mereka perlu menghadapi akibatnya. Tetapi saya dan suami akan pastikan yang kami mendengar penjelasan daripada semua pihak terlebih dahulu bagi bersikap adil," kata Cik Azizah, yang anak-anaknya berusia 19 tahun, 18 tahun, 15 tahun, 14 tahun dan 11 tahun.
Suri rumah berusia 41 tahun itu berpendapat sekolah perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap pelajar yang mempunyai masalah disiplin, tetapi beliau sedar dan faham bahawa keadaan jauh berbeza berbanding zaman persekolahannya dahulu.
"Dulu, sekolah boleh mendisiplinkan pelajar tanpa perlu risau tentang aduan daripada ibu bapa. Tetapi kini, ibu bapa mungkin terlalu melindungi anak-anak mereka dan ini boleh membuatkan anak-anak merasakan yang ibu bapa mereka akan menyokong mereka dalam apa keadaan sekali pun.
"Saya ada dengar aduan daripada guru-guru juga tentang bagaimana pelajar hari ini tidak menghormati mereka. Isu-isu ini tidak dapat diselesaikan semalaman. Ibu bapa perlu memainkan peranan juga," katanya.
Bagi ibu tiga anak, Cik Siti Saliha Ismail, beliau yakin yang sekolah rendah anak-anaknya mendisiplin pelajar dalam tiga cara iaitu mencegah, menyokong dan memperbetul - cara yang beliau turut amalkan di rumah.
"Pendidik hari ini lebih berpengetahuan tentang perkembangan kanak-kanak untuk memahami bahawa kaedah keras yang digunakan pada zaman persekolahan kita dahulu tidak berkesan dan boleh menyebabkan kemerosotan semula yang selanjutnya," kata guru tajaka berusia 38 tahun itu.
Beliau, bagaimanapun, meluahkan rasa tidak selesa dengan cara beberapa guru di sekolah anak-anaknya menghukum pelajar yang tidak menyelesaikan tugasan mereka sebelum tamat kelas dengan mengurangkan waktu rehat.
"Saya difahamkan yang guru-guru tidak dibenarkan mengurangkan walau seminit pun daripada waktu rehat pelajar kerana itu hak mereka untuk makan dan berehat.
"Saya juga berasa tidak selesa dengan cara sedemikian kerana ia boleh mengaburkan pemahaman kanak-kanak tentang maksud disiplin yang sebenar dan bagaimana mereka boleh menganggap disiplin dan hukuman sebagai perkara yang sama," kata Cik Siti Saliha yang anak-anaknya berusia lapan tahun, tujuh tahun dan lima tahun.

