PERATUSAN orang yang merokok setiap hari di Singapura telah mencatat penurunan stabil dalam tempoh sedekad lalu, menurut laporan Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NHPS) yang dikeluarkan semalam.

Peratusan orang yang meminum arak secara berlebihan bagaimanapun telah meningkat, terutama dalam kalangan orang muda.

Demikian diumumkan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya semalam.

Tinjauan yang dijalankan ke atas penduduk Singapura berusia antara 18 dengan 74 tahun dari Julai 2019 hingga Mac tahun lalu itu mendapati peratusan orang yang merokok setiap hari telah turun kepada 10.1 peratus tahun lalu daripada 11.8 peratus pada 2017.

Penurunan itu lebih ketara dalam kalangan perokok lelaki berbanding wanita.

Tahun lalu, lebih ramai lelaki (17 peratus) merokok berbanding wanita (3.4 peratus).

Perokok lelaki menghisap purata 13 rokok sehari, berbanding perokok wanita yang menghisap purata 10 rokok sehari.

Orang Melayu membentuk kadar perokok paling tinggi dengan 21.1 peratus diikuti orang India (8.9 peratus) dan orang Cina (8.6 peratus).

Sekitar separuh perokok berkata mereka mempunyai rancangan berhenti merokok tetapi hanya 19.3 peratus daripada mereka merancang berhenti dalam masa setahun akan datang atau kurang.

Menurut laporan itu, merokok adalah faktor risiko utama bagi serangan jantung, angin ahmar, Penyakit Paru-Paru Obstruktif Kronik (COPD) dan barah.

MOH berkata ia akan meneruskan usaha memastikan peratusan orang yang merokok kekal rendah.

"Kami akan mempertingkatkan usaha pendidikan kami di sekolah aliran utama untuk mengelakkan permulaan merokok dari muda sambil terus membantu perokok berhenti melalui program berhenti merokok kami," katanya.

Sementara itu, peratusan penduduk yang meminum arak secara berlebihan telah naik ke 10.5 peratus tahun lalu berbanding 8.8 peratus pada 2017.

Meminum arak secara berlebihan bermakna mengambil lima atau lebih minuman beralkohol bagi lelaki atau empat atau lebih minuman beralkohol bagi wanita dalam satu sesi meminum arak.

Kenaikan itu rata-rata dilihat dalam kumpulan umur lebih muda, terutama individu berusia dari 18 hingga 39 tahun.

Meminum arak secara berlebihan lebih kerap berlaku dalam kalangan lelaki (14.6 peratus) berbanding wanita (6.5 peratus) tahun lalu.

Mengambil alkohol secara berlebihan dikaitkan dengan risiko lebih tinggi menghidap tekanan darah tinggi, angin ahmar dan barah tertentu.

Ia juga boleh menyebabkan kerosakan kepada otak dan jantung, selain boleh menyebabkan gangguan mental seperti kebergantungan kepada alkohol.

"Kami akan meneruskan usaha pendidikan kami di sekolah aliran utama dan Institut Pengajian Tinggi (IHL) tentang kesan bahaya pengambilan alkohol sambil terus bekerjasama dengan pemain industri untuk menyertakan pesanan tentang tanggungjawab meminum arak dalam kempen mereka," kata MOH.

Laporan NHPS itu juga mendapati keadaan kesihatan mental yang lemah dalam kalangan penduduk kekal stabil tahun lalu (13.4 peratus) berbanding 2017 (12.5 peratus).

Orang muda berusia antara 18 dengan 29 tahun membentuk golongan paling ramai mengalami kesihatan mental yang lemah iaitu pada 21.5 peratus.

Sementara itu, laporan itu juga berkata kadar pemeriksaan bagi barah kolorektal telah naik ke 41.1 peratus tahun lalu berbanding 35 peratus pada 2017 dan pemeriksaan bagi barah buah dada turut naik ke 37.9 peratus tahun lalu berbanding 30.9 peratus pada 2017.

Bagaimanapun, kadar pemeriksaan bagi penyakit kronik dalam kalangan penduduk berusia 40 hingga 74 tahun turun sedikit ke 63 peratus tahun lalu berbanding 66.4 peratus pada 2017.

USAHA ELAK MULA MEROKOK DARI AWAL

"Kami akan mempertingkatkan usaha pendidikan kami di sekolah aliran utama untuk mengelakkan permulaan merokok dari muda sambil terus membantu perokok berhenti melalui program berhenti merokok kami." - Kementerian Kesihatan (MOH).