SEBUAH perbadanan yang bematlamat mengenal pasti trend judi global baru serta memberi respons yang lebih berkesan terhadap produk judi baru dirasmikan semalam.
Penguasa Pengawalan Perjudian (GRA) akan mengawal pelbagai jenis khidmat perjudian, termasuk yang ditawar di kasino dan loteri, dan juga perjudian sukan serta kotak barang rampasan atau 'loot box' dalam permainan video dalam talian.
Ini dimaklumkan sedang trend perjudian pesat berubah dan garisan antara permainan dengan perjudian semakin tidak jelas.
GRA telah mengambil alih fungsi Majlis Pengawalan Kasino yang ditubuhkan pada 2008 untuk mengawal dua resort bersepadu di sini, Marina Bay Sands dan Resorts World Sentosa.
Pada majlis perasmian itu di Pusat Pameran dan Konvensyen Suntec Singapura semalam, Cik Josephine Teo, Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri berkata pertubuhan GRA itu adalah satu langkah yang penting bagi mengawal isu perjudian di Singapura memandangkan landskapnya akan berubah setiap lima tahun.
Cik Teo, yang juga Menteri Perhubungan dan Penerangan, menambah bagaimana perkembangan tekonologi telah membuat lebih mudah untuk orang ramai berjudi pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, lantas meluaskan skala dan skop perjudian dalam talian.
Kehendak pengguna yang juga berubah turut menyebabkan pelbagai produk perjudian baru muncul dan batasan antara perjudian dengan permainan menjadi kurang jelas, tambahnya.
Cik Teo berkata:
"Terdapat lebih banyak varian kegiatan permainan, perjudian dan permainan yang bergantung pada nasib, seperti yang melibatkan mata wang kripto atau menggunakan teknologi kripto."
Apabila ditanya mengenai daya usaha yang akan datang, seorang jurucakap GRA berkata had hadiah sebanyak $100 bagi kotak-kotak misteri, sebagaimana yang dicadangkan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) bakal dikuatkuasakan seawal-awalnya tahun depan.
Jurucakap itu menambah:
"Had berkenaan akan mencegah kesan pencetusan bagi barang nilai tinggi dan mencegah daripada menjadikan perjudian satu kegiatan normal dalam kalangan belia."
Dalam beberapa bulan mendatang, penguasa itu juga akan memberi tumpuan kepada mempermudah proses kelulusan lesen kerana bilangan lesen yang bakal dikeluarkan dijangka naik dengan ketara.
Ini dilakukan sedang Akta Kawalan Perjudian, yang berkuat kuasa bulan ini, mewajibkan pertubuhan swasta mendapatkan lesen untuk menganjur permainan yang melibatkan pemainan seperti mahjong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg