Perbelanjaan pelancongan di Singapura pada 2024 dijangka mencatat rekod tertinggi, melebihi $27.7 bilion yang dicatatkan sebelum pandemik pada 2019, menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada 4 Februari.
Hasil daripada industri pelancongan bagi keseluruhan 2024 dijangka mencapai paras tinggi dalam unjuran STB iaitu antara $27.5 dengan $29 bilion, selepas mencatat hasil pelancongan bernilai $22.4 bilion antara Januari dengan September 2024.
Ini adalah peningkatan 10 peratus berbanding tempoh sama pada 2023, menurut STB dalam tinjauan tahunan.
Hasil pelancongan bagi keseluruhan 2024 akan diumumkan pada suku kedua 2025, lapor The Straits Times (ST).
Ketibaan pelancong antarabangsa terus menunjukkan pemulihan mantap sejak 2023.
Jumlah pelancong antarabangsa meningkat 21 peratus kepada 16.5 juta ketibaan pada 2024, manakala fasa prapandemik pada 2019 mencatat 19.1 juta ketibaan.
China (3.08 juta), Indonesia (2.49 juta) dan India (1.2 juta) muncul sebagai tiga pasaran utama pelancong.
STB berkata gabungan pasaran utama itu dengan pasaran tempoh pendek, sederhana dan panjang seperti Jepun, Taiwan, Britain dan Amerika Syarikat, menunjukkan “pertumbuhan sihat tahun ke tahun”.
Menurut STB, pertumbuhan pada ketibaan pelancong didorong oleh faktor seperti perjanjian bebas visa selama 30 hari antara Singapura dengan China yang bermula pada Februari 2024, serta “pertumbuhan kukuh dalam hubungan udara” Singapura.
Pada Januari, Lapangan Terbang Changi mengumumkan bahawa trafik penumpangnya hampir pulih sepenuhnya, mencapai 99.1 peratus daripada jumlah penumpang prapandemik, iaitu sebanyak 67.7 juta penumpang pada 2024.
Pada 2024, perbelanjaan dalam sektor pelancongan Singapura mencatat peningkatan dalam semua kategori, dengan pelancongan, hiburan dan permainan menyaksikan peningkatan 25 peratus.
Kategori penginapan pula meningkat 17 peratus, manakala makanan dan minuman (F&B) naik 6 peratus, dan pembelian naik 5 peratus.
Konsert oleh artis terkenal dunia seperti Coldplay, Ed Sheeran, dan Taylor Swift, serta tempat tarikan mesra keluarga, acara sukan dan gaya hidup seperti Grand Prix Formula Satu (F1) dan Minggu Seni Singapura (SAW), meningkatkan jumlah ketibaan pelancong dan memacu perbelanjaan di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif STB, Cik Melissa Ow, berkata prestasi kukuh sektor pelancongan pada 2024 merupakan satu “pengesahan terhadap usaha industri dalam memperbaharui produk dan pengalaman kita, serta menjalin kerjasama baru sepanjang tahun lalu (2024)”.
“Secara keseluruhan, usaha ini telah meningkatkan daya tarikan Singapura sebagai destinasi (pelancongan) dan mengukuhkan keupayaan serta daya saing sektor ini.”
STB meramalkan ketibaan pelancong dan hasil pelancongan lebih tinggi pada 2025.
Singapura dijangka menerima antara 17 juta dengan 18.5 juta pelancong antarabangsa, membawa hasil pelancongan antara $29 bilion dengan $30.5 bilion, melebihi prestasi kukuh pada 2024.
“Walaupun menyedari cabaran yang mungkin timbul daripada ketegangan geopolitik dan cabaran makroekonomi, STB kekal fokus dalam memacu pertumbuhan pelancongan bermutu untuk mempertahankan dan memperkukuh kedudukan sejagat Singapura, sambil kita terus membangunkan sektor pelancongan pada masa depan,” kata STB dalam kenyataan media.
STB menambah bahawa Singapura akan terus menyokong perkembangan baru – seperti tempat tarikan dan pengalaman baru – bersama barisan acara riadah dan Mesyuarat, Insentif, Persidangan, dan Pameran (Mice) pada 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg