Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerbicaraan AHTC: AP WP wujudkan sistem abaikan kawalan serta sekatan dan imbangan
Perbicaraan AHTC: AP WP wujudkan sistem abaikan kawalan serta sekatan dan imbangan
Perbicaraan AHTC: AP WP wujudkan sistem abaikan kawalan serta sekatan dan imbangan
APABILA pengerusi Parti Pekerja (WP) Cik Sylvia Lim dan ketua parti waktu itu Encik Low Thia Kiang dipilih sebagai Anggota Parlimen (AP) untuk GRC Aljunied pada 2011, ejen pengurusan sedia ada di kawasan Aljunied masih mempunyai dua tahun lagi dalam kontraknya.
Namun, Cik Lim dan Encik Low membuat keputusan untuk tidak meneruskan perkhidmatan CPG Facilities Management, dan sebaliknya melantik sebuah syarikat baru untuk menguruskan hal ehwal majlis bandaran bagi kedua-dua GRC Aljunied dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Hougang.
Ejen pengurusan baru, FM Solutions & Services (FMSS), dikendalikan oleh penyokong lama WP, mendiang Danny Loh Chong Meng dan isterinya, Cik How Weng Fan.
Keadaan di sebalik pelantikan FMSS menyebabkan wujudnya sistem yang mengabaikan kawalan serta sekatan dan imbangan (checks and balances), kata Peguam Kanan Davinder Singh hari ini, pada hari pertama perbicaraan terhadap tiga AP WP dan dua anggota majlis bandaran.
Kes itu melibatkan lebih $33.7 juta dalam bentuk pembayaran majlis bandaran yang dibuat antara 15 Julai 2011 hingga 14 Julai 2015 kepada FMSS dan penyedia khidmat FM Solutions and Integrated Services (FMSI).
Encik Low dan Cik Lim telah diminta untuk menjelaskan jumlah itu dan untuk membayar balik wang yang telah dibayar dengan salah.
Tuntutan yang dimulakan oleh Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) di bawah arahan sebuah panel bebas, mendakwa pembayaran kepada ejen pengurusan dan penyedia perkhidmatannya adalah tidak wajar dan tidak sah.
AHTC juga membentangkan kes bahawa Encik Low dan Cik Lim tidak memenuhi tugas fidusiari mereka sebagai anggota majlis bandaran.
