SATU percubaan menyeludup 1,177 karton dan 650 bungkusan rokok kontraban dibanteras selepas pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menjalankan pemeriksaan lanjut pada sebuah lori pada 8 Mac.
Pegawai ICA ini telah memerhatikan tanda-tanda percubaan menyeludup di pusat pemeriksaan Tuas, jelas ICA pada Sabtu (12 Mac) di Facebook.
Mereka menemui rokok yang tidak dibayar cukainya di atas papan lantai yang diubahsuai dalam kenderaan itu yang mengangkut bahan konkrit pratuang.
Pemandu lelaki dari Malaysia ini didakwa di mahkamah pada 9 Mac selepas kes ini dirujukkan ke Kastam Singapura untuk siasatan lanjut.
Kata ICA: "Kaedah menyembunyikan yang sama mungkin juga digunakan pengganas untuk menyeludup barangan keselamatan ke Singapura. ICA akan terus menjalankan pemeriksaan keselamatan bagi mengesan dan menghalang percubaan menyeludup ini, untuk memastikan Singapura selamat."
Mereka yang membeli, menjual atau berurusan dengan barangan yang tidak dibayar cukainya boleh didenda hingga 40 kali jumlah cukai yang dielakkan, dipenjara hingga enam tahun atau kededuanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg