Selepas dua malam bercuti di Bandung, Indonesia, Cik Athirah Mohd dan rakannya membuat perjalanan ke Jakarta untuk berlibur di situ semalaman sebelum pulang ke tanah air.

Namun, percutian singkat dua sahabat itu kini ‘dilanjutkan’ secara terpaksa selepas penerbangan mereka dari Jakarta ke Singapura dibatalkan pada 6 September susulan letusan Gunung Anak Krakatau.

Rakyat Singapura berusia 26 tahun itu sepatutnya terbang pulang menaiki pesawat Singapore Airlines (SIA), SQ961, pada 5 petang, 6 September.

Namun, pada sekitar 12.06 tengah hari, mereka menerima mesej dan e-mel daripada ‘SQ Flight Info’ yang memberitahu bahawa penerbangan mereka telah dibatalkan.

“Sebenarnya, pada malam sebelumnya, kami ada baca kemas kini di media sosial tentang pembatalan penerbangan disebabkan letusan gunung berapi itu. Kami sedikit sebanyak sudah bersedia untuk kemungkinan terburuk.

“Pada pagi ini (6 September), keadaan langit masih agak cerah, jadi kami teruskan aktiviti, pergi beli-belah dan kembali untuk bersedia bagi check out pada tengah hari.

“(Namun) Pada 12.06 tengah hari, kami menerima mesej dan e-mel daripada ‘SQ Flight Info’ bahawa penerbangan telah dibatalkan, dan mereka akan memberi maklumat terkini tentang penerbangan yang dijadualkan semula.

“Setakat ini, tiada jadual semula yang dibuat,” ujar Cik Athirah, seorang guru prasekolah.

Letusan gunung berapi Anak Krakatau telah menyebabkan lima lapangan terbang menggantung operasi penerbangan pada 6 September, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta yang melanjutkan penggantungan operasi penerbangan sehingga 5.30 petang waktu tempatan (6.30 petang waktu Singapura) disebabkan abu gunung berapi.

Ini sekali gus menjejas ratusan penerbangan dan penumpang di lapangan terbang utama Jakarta itu.

Mujur bagi Cik Athirah dan rakannya, hotel tempat mereka menginap di Jakarta mempunyai bilik untuk mereka tempah satu malam lagi, namun mereka belum pasti bilakah akan dapat penerbangan baru untuk pulang ke tanah air.

“Kami telah melanjutkan cuti kerja kami (cuti kecemasan), tetapi kami masih belum pasti berapa hari yang diperlukan.

“Ini agak membimbangkan memandangkan baki cuti kami semakin berkurangan.

“Buat masa ini, kami hanya menerima e-mel pembatalan (daripada SIA), tetapi kami sentiasa memantau rapat e-mel dan kemas kini terkini daripada pihak mereka,” kata Cik Athirah.

Dalam kemas kini pada 11.30 pagi, 6 September, SIA menyatakan bahawa 19 penerbangannya telah dibatalkan, termasuk dua penerbangan yang sebelum ini telah dijadualkan semula.

Syarikat penerbangan tambang murah SIA, Scoot, pula telah membatalkan 12 penerbangan, menurut laman webnya pada tengah hari.

Syarikat penerbangan lain, seperti Batik Air, TransNusa, Citilink dan Garuda Indonesia, turut membatalkan beberapa penerbangan awal mereka pada 6 September, tetapi masih mempunyai penerbangan lewat yang dijadualkan pada hari berkenaan.