Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pergaduhan maut di Orchard Towers: Lelaki gagal dalam rayuan atas sabitan membunuh

May 15, 2025 | 7:13 PM
Pegawai polis menjalankan siasatan di tempat kejadian di Orchard Towers pada 2 Julai 2019.
Pegawai polis menjalankan siasatan di tempat kejadian di Orchard Towers pada 2 Julai 2019. - Foto fail

Seorang lelaki berusia 33 tahun yang menikam seorang lelaki lain dalam satu pergaduhan maut di Orchard Towers pada 2019 gagal dalam rayuannya terhadap sabitan membunuh.

Tan Sen Yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali rotan pada April 2024.

Pada 15 Mei, peguam Tan, Encik Chooi Jing Yen, berhujah di Mahkamah Rayuan bahawa anak guamnya tidak berniat menyebabkan kecederaan sehingga membawa kepada kematian Encik Satheesh Noel Gobidass, 31 tahun.

Tan memegang sebilah pisau kerambit dengan mata pisau menghala ke luar apabila dia melepaskan tiga pukulan ke arah mangsa yang meninggal dunia akibat luka tikaman pada tengkuknya.

Peguam Tan berhujah bahawa Tan tidak sepatutnya disabitkan dengan kesalahan membunuh, sebaliknya disabitkan atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya, menyebabkan kematian dengan tindakan terburu-buru, atau menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Beliau juga berhujah kejadian itu tercetus secara tiba-tiba dan Tan mengalami gangguan penyesuaian serta gangguan penggunaan alkohol.

Pisau kerambit yang digunakan Tan tidak ditemui kerana dia membuangnya sebelum menyerah diri kepada pihak polis.

Mahkamah – merangkumi Hakim Tay Yong Kwang, Hakim Belinda Ang dan Hakim Woo Bih Li – menolak rayuan itu tanpa memerlukan pihak pendakwaan memberi respons, lapor The Straits Times (ST).

Hakim Tay berkata keadaan dalam kes itu perlu dilihat dengan “menggunakan akal”.

“Tiada keperluan untuk meneliti dengan tepat bahagian badan mana yang sebenarnya menjadi sasaran serangan”.

Tindakan Tan yang menumbuk kepala mangsa sambil menggenggam kerambit itu dengan mata pisau menghala ke arah mangsa adalah petanda jelas dia berniat menyebabkan kecederaan serius di bahagian kepala mangsa, kata Hakim Tay.

Mahkamah turut menolak hujah peguam mengenai pertengkaran yang berlaku secara tiba-tiba dan pengurangan tanggungjawab Tan disebabkan gangguan mental.

Sekitar 6.20 pagi, 2 Julai 2019, ketika Tan dan rakan-rakannya sedang meninggalkan Naughty Girl Club di Orchard Towers, mereka terlibat dalam pertengkaran dengan sekumpulan pelanggan lain.

Seorang daripada pegawai keselamatan yang cuba menghentikan pertelingkahan itu mengalami luka pada jarinya, manakala muka seorang anggota kumpulan lawan dikelar.

Encik Satheesh, seorang kenalan anggota kumpulan lawan yang cedera, bersemuka dengan rakan Tan, Ang Da Yuan.

Untuk membantu rakannya, Tan menumbuk Encik Satheesh sambil menggenggam kerambit itu.

Kumpulan tersebut kemudian menumbuk dan menendang Encik Satheesh sebelum melarikan diri.

Kejadian tersebut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV).

Tan dan enam individu lain pada mulanya didakwa atas kesalahan membunuh, namun dakwaan terhadap enam individu itu telah dikurangkan mengikut penglibatan masing-masing dalam pertelingkahan tersebut.

Ang dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan enam sebatan kerana menyerang dan berada bersama Tan.

Natalie Siow Yu Zhen dijatuhi hukuman penjara lima bulan kerana menyerang dan berada bersama individu yang memiliki senjata.

Joel Tan Yun Sheng dipenjarakan empat minggu atas kesalahan menyerang.

Loo Boon Chong dihukum penjara lima bulan kerana membuang baju-T milik Tan.

Chan Jia Xing menerima amaran bersyarat – yang tidak membawa kepada sabitan – kerana berada bersama Tan.

Tan Hong Sheng dijatuhi hukuman penjara empat tahun sembilan bulan dan 12 sebatan kerana berada bersama Tan serta atas dua pertuduhan rusuhan yang tidak berkaitan dengan kes ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg