Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) telah menerbitkan panduan agama bertajuk ‘Tarikan Sesama Jenis daripada Perspektif Islam’.
Pergas berkata panduan agama itu bertujuan mencapai tiga objektif utama.
Pertama, menyediakan garis panduan dan rujukan kepada asatizah, ahli akademik, penyelidik dan masyarakat amnya dalam memahami beberapa teks agama berkaitan perbincangan berkaitan LGBTQ, atau golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer.
Kedua, menawarkan bimbingan agama kepada ahli keluarga, rakan dan masyarakat lebih luas dalam menangani isu berkaitan LGBTQ.
Ketiga, menawarkan bimbingan agama kepada Muslim yang mengalami tarikan sesama jantina atau menganggap diri mereka sebagai individu LGBTQ, serta Muslim yang mungkin mempersoalkan orientasi seksual mereka.
Presiden Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, memberitahu Berita Harian bahawa Pergas, sebagai organisasi yang menawarkan kepimpinan keagamaan kepada masyarakat Muslim Singapura, “sedar akan isu-isu yang mengelilingi topik LGBTQ dan bagaimana landskap sosial kita terus berkembang di Singapura”.
Malah, dalam pengenalan pada panduan agama tersebut, Pergas akur isu-isu berkaitan seksualiti, tarikan sesama jantina dan LGBTQ yang selama ini dibincangkan, diperdebat dan diperjuangkan “telah menimbulkan implikasi, kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan warga Singapura, khususnya masyarakat Islam”.
Oleh itu, panduan agama 101 muka surat yang diterbitkan itu mahu menawarkan rangka kerja untuk memahami dan menangani isu berkaitan homoseksual atau LGBTQ – terutamanya, tarikan terhadap orang yang sama jantina – dalam konteks ajaran dan nilai agama.
Dalam panduan itu yang boleh didapati di laman web serta media sosial Pergas, ia antara lain meneroka perbezaan antara seksualiti dari perspektif moden dan Islam; menawarkan nasihat bagi masyarakat Islam dalam menanggapi tarikan sesama jantina; dan memberi nasihat kepada Muslim yang mengalami tarikan sesama jantina.
SEKSUALITI – PERSPEKTIF
MODEN DAN ISLAM
Menurut panduan agama yang diterbitkan itu, seksualiti dari perspektif moden sebahagian besarnya sudah terkait dengan cara sesetengah individu memandang dan memahami diri mereka serta dengan siapa mereka mempunyai pertalian.
Sementara itu, Islam pula tidak menafikan atau mengabaikan aspek seksualiti seseorang.
Islam mengenal seksualiti sebagai fitrah semula jadi manusia dan sama sekali tidak cuba menafikan atau menindasnya, namun keinginan seksual juga dikawal oleh batasan syariah.
Islam tidak menindas keinginan seksual dan membenarkannya untuk dizahirkan melalui perkahwinan antara lelaki dan wanita.
ISLAM DAN HOMOSEKSUALITI
Panduan agama yang diterbitkan Pergas itu, yang turut mengetengahkan ayat-ayat Al-Quran dan hadis, menyatakan bahawa meskipun perkataan ‘homoseksualiti’ tidak dinyatakan secara terang-terangan dalam Al-Quran atau hadis, kedua-dua teks agama itu membincangkan hubungan seksual sesama jenis.
Secara amnya, hubungan sesama jantina dibincangkan di dalam Al-Quran melalui kisah Nabi Lut as dan kaumnya dan menerusi itu terdapat larangan terhadap hubungan sesama jenis.
“Adapun keinginan, perasaan, kecenderungan dan rasa tertarik terhadap sesama jenis tidak dipertanggungjawabkan dalam Islam, jika orang itu tidak mengamalkannya,” jelas panduan tersebut.
Ia menambah bahawa agama mengajar seseorang mengawal nafsu dan keinginannya dan memastikan tindakannya itu sesuai dengan syariah.
Selain penyelewengan seksual, Islam juga tidak membenarkan apa-apa perkara yang boleh membawa kepada penyelewengan seksual tersebut termasuk kelakuan, kata-kata atau pemakaian yang boleh membawa ke arah itu.
“Keinginan dan tarikan itu mungkin tidak hilang, tetapi menjadi tanggungjawab seorang Muslim untuk mengawal nafsu itu, menahan diri daripada bertindak (mengikut nafsu) dan mengelakkan jalan-jalan yang boleh membawa kepada tindakan mengikut keinginan tersebut.”
NASIHAT KEPADA MASYARAKAT
ISLAM
Pergas dalam panduannya berkata stigma yang masih mengelilingi golongan yang tertarik kepada sesama jenis atau LGBTQ ialah mereka “tidak layak menjadi Muslim yang baik kerana mereka melakukan dosa”.
“Ini dengan sendirinya boleh melumpuhkan dan menghalang seseorang daripada berusaha untuk berintegrasi dengan masyarakat Islam dan tidak menggalakkan mereka untuk terus memperbaiki diri sebagai Muslim.
“Apabila stigma ini dikongsi dan diperkukuhkan dalam kalangan ahli masyarakat, ia akhirnya boleh menjadi asas untuk mengecualikan mereka atau memperlakukan mereka secara berbeza.”
Oleh itu, Pergas berkata bahawa dalam menangani isu ini, masyarakat Muslim sepatutnya menggunapakai prinsip ‘wasatiyyah’, yang bertujuan mencapai keadilan, keseimbangan dan kecemerlangan, serta elak daripada dua ekstrem – penolakan total atau penerimaan total.
Penolakan total merujuk kepada ‘membuang’ golongan sedemikian daripada keluarga atau menjauhi mereka daripada Islam atau melakukan ibadah.
Penerimaan total pula merujuk kepada menyokong LGBTQ sebagai gaya hidup atau menganggap kelakuan seksual sedemikian tidak haram.
“Penting untuk kita ingat bahawa untuk bersikap belas kasihan dalam respons kita tidak memerlukan kita untuk berkompromi dengan kepercayaan kita. Apa yang tidak dibenarkan dalam Islam tidak boleh dibolehkan, dan ini tidak boleh dirundingkan,” tegas panduan tersebut.
Ini bermakna masyarakat Islam di sini perlu berhati-hati tentang kata-kata atau perbuatannya agar ia tidak disalahtafsirkan sebagai menyokong, menggalakkan atau mendorong orang lain menerima gaya hidup LGBTQ.
NASIHAT KEPADA MUSLIM YANG
TERTARIK KEPADA SESAMA JENIS
Pergas dalam panduan agamanya menawarkan dua nasihat kepada Muslim yang mengalami tarikan sesama sejenis.
Pertama, mengukuhkan iman sebagai Muslim; dan kedua, mengurus jangkaan terhadap institusi dan masyarakat keagamaan.
Untuk mengukuhkan iman sebagai Muslim, seseorang yang mengalami tarikan sesama sejenis atau menganggap dirinya daripada golongan LGBTQ boleh melihat perkara tersebut sebagai ujian daripada Allah swt.
Selain itu, usah elak daripada agama; bergaul dengan orang yang baik yang boleh membimbing ke arah kebaikan; mendapatkan bantuan daripada profesional atau kumpulan sokongan yang layak; serta hadiri kelas untuk menimba ilmu agama.
RANCANGAN PERGAS
Panduan agama itu boleh didapati di laman web dan media sosial Pergas. Namun, lebih daripada itu, Pergas akan secara aktif mendekati kumpulan berbeza untuk menyebarkan panduan tersebut, kata Ustaz Tarmizi.
Ini termasuk mengadakan perbincangan awam berkenaan topik tersebut, menganjurkan bengkel bagi asatizah dan pelajar madrasah untuk melengkapkan mereka dengan ilmu serta kemahiran untuk membimbing yang lain, serta dialog dengan Muslim yang mengalami tarikan sesama jenis atau yang menganggap diri mereka LGBTQ.
Pergas juga akan menyediakan kandungan mudah difahami mengenai topik tersebut di wadah dalam talian.
“Usaha ini akan disebarkan sepanjang tahun dan pada tahun-tahun akan datang. Kami merasakan bahawa bimbingan agama ini penting dan tepat pada masanya, tetapi apa yang lebih penting ialah kerja yang akan datang selepasnya, termasuk melibatkan diri dengan pelbagai pihak berkepentingan dan menyediakan latihan untuk asatizah,” ujar Ustaz Tarmizi.
“
Usaha ini akan disebarkan sepanjang tahun dan pada tahun-tahun akan datang. Kami merasakan bahawa bimbingan agama ini penting dan tepat pada masanya, tetapi apa yang lebih penting ialah kerja yang akan datang selepasnya, termasuk melibatkan diri dengan pelbagai pihak berkepentingan dan menyediakan latihan untuk asatizah.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg