Topic followed successfully
Go to BHkuPerjalanan 35 tahun pelopor sektor prasekolah dirakam dalam buku
Perjalanan 35 tahun pelopor sektor prasekolah dirakam dalam buku
June Rusdon ceburi bidang prasekolah selepas baca mengenai pemerintah galak suri rumah kembali bekerja
Perjalanan 35 tahun pelopor sektor prasekolah dirakam dalam buku
Hamil dengan anak sulungnya pada 1988, Cik Jummaida Rusdon memutuskan untuk berhenti kerja dalam dunia pasaran saham selepas sedekad dalam kerjaya itu disebabkan waktu kerjanya yang tidak menentu.
Namun, beliau tidak mahu sekadar menjadi seorang suri rumah dan ingin menceburi bidang kerjaya baru pula.
Kemahiran beliau pelbagai. Cik Jummaida, atau lebih mesra dikenali sebagai Cik June, boleh buka restoran kerana beliau boleh masak, atau buka butik kerana beliau juga boleh menjahit.
Bagaimanapun, setelah banyak membaca berita tentang pemerintah yang menggalak suri rumah untuk kembali bekerja dan pada masa sama, levi bagi pembantu rumah dinaikkan, terdetik satu idea perniagaan dalam benak fikiran beliau.
“Saya rasa ini adalah waktu yang tepat untuk saya menceburkan diri dalam sektor prasekolah.
“Waktu itu, saya juga membaca banyak risalah tentang pentingnya penjagaan dan pendidikan anak pada usia dari selepas lahir hingga tiga tahun. Ia memberi saya banyak inspirasi,” kata ibu tiga anak dan nenek seorang cucu itu.
Dengan modal sebanyak $25,000, Cik June membuka tajakanya yang pertama di Bukit Batok pada 1990 dipanggil Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Small Wonder.
Inilah permulaan kisah kejayaan Cik June, 64 tahun, seorang wanita yang menjadi pelopor dan peneraju dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di Singapura.
Kisah perjalanan beliau selama 35 tahun dalam sektor prasekolah itu dirakamkan dalam satu buku bertajuk June Rusdon, 35 Year Journey of Impacting Lives, yang dilancarkan di The Pod, Bangunan Perpustakaan Negara, pada 24 September.
Mengimbas kembali kisah perjalanannya, Cik June mengingati detik-detik mencabar semasa memulakan tajakanya yang pertama pada 1990.
“Ia tidak begitu mudah. Saya ambil masa enam bulan untuk mencari tempat yang sesuai untuk membuka prasekolah tetapi tidak berjaya.
“Mujur, pada waktu itu, pemerintah mengumumkan kolong blok boleh dibuka tender bagi pengendali privet membuka prasekolah disebabkan permintaan yang tinggi. Saya pun cuba nasib dan berjaya mendapatkan tempat di Bukit Batok pada 1989,” kongsi beliau.
Pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mengendalikan tajaka yang bermutu tinggi, dengan Cik June perlu mendapatkan pengetua dan guru-guru yang berpengalaman dan mempunyai latihan.
Beliau juga mencetak 500 risalah untuk menguar-uarkan tentang prasekolah barunya, diedarkan dan dimasukkan ke dalam peti surat penduduk.
“Saya masih ingat lagi, selepas kami edarkan risalah itu, rumah telefon saya bunyi tidak berhenti-henti sehinggakan syarikat telekom datang ke rumah saya dan tanya sama ada telefon saya rosak,” cerita Cik June.
“Saya rasa gembira, dan rasa takut pun ada. Saya tidak sangka tajaka yang kita mahu buka ini mendapat respons yang begitu banyak. Bahkan, 200 orang menelefon saya dalam seminggu,” tambah beliau, yang berkata lebih 75 murid mendaftar di tajaka pertamanya itu.
Dari situ, perniagaan Cik June terus maju dengan pesat. Beliau membuka dua lagi prasekolah di Tampines dan Pasir Ris dalam tempoh setahun.
Pada 1990-an, tatkala pemerintah mahu menjadikan tempat kerja lebih mesra keluarga, Cik June membuka pusat penjagaan kanak-kanak di bangunan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS), Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dan sebagainya.
Namun, bukan hanya perniagaan sahaja yang dititikberatkan. Beliau perhatikan guru prasekolah pada ketika itu memerlukan latihan untuk membina keyakinan dan kemahiran mereka.
“Saya perhatikan ada guru-guru yang tidak tahu nak buat apa apabila kanak-kanak menangis. Ada guru itu letak minyak angin pada mata kanak-kanak. Apabila saya nampak keadaan itu, saya rasa amat sedih kerana ini menunjukkan mereka tidak mempunyai latihan yang mencukupi,” kata beliau.
Lantaran itu, Cik June membuka akademi latihan untuk guru dipanggil Learning Capital pada 2000, yang kemudiannya dinamakan semula sebagai Kolej Antarabangsa Asia pada 2011.
Pada 2007, perniagaan beliau berjaya memiliki lebih 20 tajaka – dikendali di bawah syarikatnya bernama The Learning Vision Group.
Kejayaan perniagaannya itu menarik perhatian pelabur asing, Knowledge Universe – sebuah syarikat yang memiliki dan mengendalikan sekolah dan menyediakan pendidikan awal kanak-kanak, program pengayaan dan latihan guru.
Cik June mengambil keputusan strategik untuk menjual perniagaan tajaka, program pengayaan dan akademi latihan gurunya – Learning Vision, Learning Horizon dan Learning Capital – kepada mereka, dan beliau kemudian menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Knowledge Universe Southeast Asia.
Perniagaan terus berkembang setelah itu, dengan Knowledge Universe membeli prasekolah premium Pat’s Schoolhouse dan menyepadukan Pat’s Schoolhouse dengan Learning Vision dan mereka juga memperolehi prasekolah The Children’s House di Malaysia dan Brighton Montessori di Singapura.
Cik June juga memulakan khidmat penjagaan kanak-kanak premium, dengan melancarkan Odyssey The Global Preschool pada 2008.
Pada 2014, Knowledge Universe menjual perniagaan Asia mereka kepada Busy Bees UK dan Cik June menjadi CEO bagi Busy Bees Asia.
Di bawah kepimpinannya, Busy Bees terus berkembang bukan hanya di Singapura, malah di rantau ini dan hari ini mempunyai lebih 140 pusat penjagaan dan pendidikan kanak-kanak dengan lebih 15,000 kanak-kanak di Singapura, Malaysia dan Vietnam, serta dua akademi latihan guru.
Selepas 35 tahun berkecimpung dalam dunia prasekolah, Cik June akhirnya memutuskan untuk bersara pada Ogos lalu.
Kini, Cik June terus aktif berkhidmat bersama Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) sebagai ahli lembaga, dan juga berharap dapat menolong mempertingkat mutu tajaka di masjid-masjid.
Nasihat beliau kepada mereka yang ingin berniaga dan berjaya adalah untuk mempunyai disiplin yang ketat dan sentiasa mempunyai perancangan.
“Tidak semua yang dirancang akan menjadi kenyataan. Oleh itu, disiplin amat penting. Kalau di saat yang kita rancang tidak menjadi, kita harus cuba lebih keras, dan kita harus pelajari kenapa ia tidak menjadi kenyataan,” kata beliau.

