Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perjumpaan semula bekas murid Sekolah Melayu Serangoon

Bekas guru, murid dapat sambung jalinan dalam majlis besar-besaran pertama sejak sekolah diroboh pada 1980-an
Jan 22, 2024 | 1:57 PM
PENGGERAK PERJUMPAAN: Jawatankuasa perjumpaan semula bekas murid dan guru Sekolah Melayu Serangoon, yang termasuk penasihat yang juga bekas guru sekolah itu, Cik Jamilah Bee Mohd Ghani (duduk dua dari kanan) dan pengerusi jawatankuasa itu, bekas murid Encik Ab Rahim Packer Mohd (berdiri dua dari kanan).
PENGGERAK PERJUMPAAN: Jawatankuasa perjumpaan semula bekas murid dan guru Sekolah Melayu Serangoon, yang termasuk penasihat yang juga bekas guru sekolah itu, Cik Jamilah Bee Mohd Ghani (duduk dua dari kanan) dan pengerusi jawatankuasa itu, bekas murid Encik Ab Rahim Packer Mohd (berdiri dua dari kanan). - Foto ihsan AB RAHIM PACKER MOHD

Zaman Cik Jamilah Bee Mohd Ghani, 74 tahun, mengajar di Sekolah Melayu Serangoon – yang sudah dirobohkan – sudah lama berakhir.

Namun, kenangan pahit manis mendidik anak murid di sekolah bangunan kayu di Aroozoo Avenue dekat Hougang itu pada zaman kampung 1960-an masih segar dalam ingatan beliau.

Beliau, yang mengajar Bahasa Melayu, Matematik dan Sains dari 1967 hingga 1981, juga lega dan gembira melihat anak muridnya mencapai kejayaan masing-masing.

Sekolah Melayu Serangoon, menurut Cik Jamilah, adalah antara beberapa sekolah di Singapura yang menawarkan kurikulum pembelajaran dalam bahasa Melayu pada waktu itu.

Carian dalam talian Berita Harian menemukan satu dokumen laluan warisan terbitan Lembaga Warisan Negara (NHB) yang menyatakan sekolah di Aroozoo Avenue itu dibina pada 1940.

Sekolah rendah itu dipercayai dirobohkan sekitar 1980-an.

Selaku penasihat jawatankuasa bekas murid dan guru sekolah tersebut, Cik Jamilah sedang merancang satu majlis perjumpaan semula bekas murid dan guru sekolah tersebut bagi menghubungkan semula dan merapatkan lagi jalinan antara mereka.

GURU PENYULUH: Cik Jamilah Bee Mohd Ghani (duduk paling kiri) bergambar bersama beberapa guru lain Sekolah Melayu Serangoon.
GURU PENYULUH: Cik Jamilah Bee Mohd Ghani (duduk paling kiri) bergambar bersama beberapa guru lain Sekolah Melayu Serangoon. - Foto FACEBOOK/JAMALUDIN OMAR

Majlis perjumpaan semula itu akan diadakan pada 17 Februari, menurut ibu tiga anak dan nenek sembilan cucu itu ketika dihubungi.

“Sesudah melalui zaman susah itu dan kini melihat anak murid saya masing-masing sudah berjaya dan berkeluarga, ia beri saya peringatan bahawa tugas seorang guru itu tidak ternilai.

“Jadi kalau boleh, kami mahu bertemu dengan seramai mungkin rakan dan murid sekolah itu untuk dengar kisah pengalaman masing-masing,” kata Cik Jamilah, yang sudah bersara tetapi kini bertugas sebagai guru adjung fleksibel di Sekolah Rendah St Margaret.

UCAPAN TAHUN BARU: Ucapan tahun baru 2024 diterbit di laman Nostalgia Sekolah Melayu Serangoon pada 2 Januari.
UCAPAN TAHUN BARU: Ucapan tahun baru 2024 diterbit di laman Nostalgia Sekolah Melayu Serangoon pada 2 Januari. - Foto FACEBOOK/NOSTALGIA SEKOLAH MELAYU SERANGOON

Majlis itu akan diadakan di De Hall Ballroom di 3 Irving Road, Tai Seng, dari 6 hingga 10 malam, dan tempahan disediakan bagi 150 tetamu.

Tiket berharga $55 setiap seorang dan boleh ditempah menerusi PayNow kepada pengerusi jawatankuasa tersebut, Encik Ab Rahim Mohd Packer, 63 tahun, murid sekolah itu antara 1967 dengan 1972 yang kini menguruskan sebuah syarikat logistik pesawat.

Cik Jamilah berkata beliau dan anggota jawatankuasa itu sering bertemu secara rambang bagi acara seperti perjumpaan Hari Raya, sesi makan bersama dan lawatan ke negara jiran.

SEKOLAH TERSAYANG: Gambar arkib Sekolah Melayu Serangoon yang diambil pada 1961.
SEKOLAH TERSAYANG: Gambar arkib Sekolah Melayu Serangoon yang diambil pada 1961. - Foto FACEBOOK/NOSTALGIA SEKOLAH MELAYU SERANGOON

Idea bagi majlis perjumpaan semula itu tercetus semasa salah satu pertemuan tersebut.

Menurut Cik Jamilah, majlis itu akan menjadi perjumpaan semula terbesar bagi mereka dan beliau berharap dapat mengundang seramai mungkin bekas murid dari 1960-an hingga 1980-an.

“Kami juga seolah-olah sedang mengejar waktu, sebab ada sebilangan murid dan rakan saya dari sekolah itu yang sudah mencecah usia tua, sudah menghidap penyakit atau uzur,” kata Cik Jamilah.

“Jadi kami berharap dapat merebut peluang ini untuk bertemu seramai mungkin rakan dan anak murid kami.”

HARI SUKAN: Gambar hari sukan Sekolah Melayu Serangoon diambil pada 1964.
HARI SUKAN: Gambar hari sukan Sekolah Melayu Serangoon diambil pada 1964. - Foto FACEBOOK/ROSLI HUSAIN
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg